Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

DAP tegas tidak mahu kerjasama dengan kleptokrat UMNO

Oleh Aziera NH

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan kleptokrat daripada kalangan pemimpin UMNO – yang kebanyakannya menghadapi kes rasuah di mahkamah – dalam pilihan raya umum akan datang.

Guan Eng juga berpendapat, Pakatan Harapan (PH) sebagai blok pembangkang terbesar, perlu memulakan pertemuan dengan semua parti pembangkang dan ahli Parlimen yang berkongsi pemikiran serupa untuk menegakkan demokrasi berparlimen negara.

“Perlu ada formula kemenangan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 dalam menyatukan semua rakyat Malaysia yang ingin mempertahankan demokrasi berparlimen dan menghentikan PN menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal dengan mengorbankan rakyat.

“Saya ingin menyatakan bahawa DAP tidak akan bekerjasama dengan pemimpin dan parti kleptokrat dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya pada Konvenseyen DAP Perak yang berlangsung di Ipoh, semalam.

Sementara itu, Guan Eng juga menjelaskan DAP bersedia untuk bekerjasama dengan ahli Parlimen kerajaan dalam isu-isu bersama yang menguntungkan rakyat seperti apa yang berlaku di negeri Perak baru-baru ini.

“Atas sebab ini, Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan DAP Perak sebulat suara menyokong langkah untuk menyingkirkan bekas Menteri Besar Perak dari Bersatu bersama dengan UMNO.

“Manfaat kepada rakyat dan juga reformasi institusi yang berhasil dari penyingkiran mantan Menteri Besar Perak ini jelas dan telah diterima dengan baik oleh rakyat,” jelasnya. – Roketkini.com