Berita, Kenyataan Akhbar

‘Jelas, suntikan fiskal RM11 bilion Pemerkasa tidak mencukupi’

Oleh B. Suffian

Suntikan fiskal RM11 bilion di bawah Pemerkasa tidak mencukupi untuk menghidupkan semula ekonomi, tegas mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, apa yang diperlukan adalah pemangkin ekonomi sebesar RM45 bilion.

Menurutnya, Tan Sri Muhyddin Yassin perlu menyemak semula angka-angka ekonominya jika percaya bahawa Pemerkasa adalah mencukupi untuk menghidupkan semula ekonomi.

“Bagaimana dengan suntikan fiskal sekadar RM11 bilion mampu menarik Malaysia keluar daripada kemelesetan ekonomi…

“(Ini) apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sebanyak 5.6 peratus pada 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Muhyiddin nampaknya lupa bahawa pakej rangsangan ekonomi Prihatin, Belanjawan 2021 serta pakej rangsangan Permai telah dilihat sebagai tidak berkesan.

Beliau menjelaskan, ini sama ada untuk mengelakkan kemelesetan ekonomi ataupun penurunan penarafan kredit antarabangsa Malaysia oleh Fitch Ratings.

Tambahan pula, jelasnya, kerajaan PN telah tersasar daripada sasaran pengangguran, pertumbuhan KDNK dan defisit belanjawan mereka sendiri. – Roketkini.com