Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kompaun RM10,000 : Menteri yang salah faham, bukan rakyat – Steven Sim

Oleh Aziera NH

Bukan rakyat yang salah faham berhubung isu kompaun RM10,000 pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 tetapi Kerajaan Persekutuan.

Itu penegasan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata, rakyat mahu kompaun RM10,000 itu dimansuhkan sepenuhnya dan bukan diberi diskaun 50 peratus seperti yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri semalam.

Menurut Steven, Kerajaan Persekutuan jelas terburu-buru dalam tindakan menaikkan nilai kompaun kepada RM10,000 tanpa sebarang garis panduan yang jelas.

Beliau berkata, kini keadaannya tidak bertambah baik walaupun dengan garis panduan terbaru yang dikeluarkan hampir seminggu selepas 1,331 orang telah dikenakan kompaun sebanyak itu.

Jelasnya, keputusan kerajaan untuk ‘menendang bola’ kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi proses rayuan kompaun RM10,000 adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab sama sekali.

“Pegawai-pegawai kita di PKD merupakan pekerja barisan hadapan menguruskan operasi sistem penjagaan kesihatan awam termasuk Covid-19.

“Kini, mereka terpaksa menjadi pusat memproses rayuan kompaun RM10,000 dengan pelbagai syarat, contohnya pelajar, B40, penyakit kronik dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, tambah Sim, diskaun 50 peratus yang dikurangkan tetap di luar kemampuan rakyat biasa.

Kerajaan tidak harus menjadikan kekayaan menteri dan orang-orang penting (VIP) sebagai tanda aras sedangkan golongan itu sering terlepas daripada SOP mahupun hukuman pelanggaran SOP seperti yang dikenakan ke atas rakyat biasa.

“Kerajaan Persekutuan tidak boleh melepaskan tanggungjawab kegagalannya menguruskan wabak dengan menghukum rakyat, dengan undang-undang yang berat.

“Strategi utama kerajaan untuk melawan Covid-19 ialah melalui pemerkasaan 3T (testing, tracing, treatment), bukan mencari kesalahan rakyat dan menghukum dengan berat.

“Ini termasuk merancakkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang masih berada pada tahap yang perlahan,” katanya. – Roketkini.com