Berita

Pastikan DAP pilihan semua

Oleh Roketkini

Transformasi DAP telah berjaya — daripada sebuah parti pembangkang yang berkesan kepada sebuah parti rakan kongsi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu bukan sahaja berprestasi baik dalam pentadbiran malah mampu membentuk gabungan politik yang berjaya walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha perlu diteruskan untuk memastikan DAP menjadi parti pilihan untuk semua rakyat Malaysia.

“Sejak daripada tahun 2008, kita mempunyai rekod yang cemerlang mentadbir dengan penuh integriti, cekap, bertanggungjawab dan telus.

“Kita masih terus diberikan amanah oleh rakyat Pulau Pinang untuk menjadi kerajaan negeri selepas lebih daripada satu dekad.

“Kita telah melatih pemimpin-pemimpin yang berkebolehan di peringkat kebangsaan, negeri, dan tempatan yang mampu memberi sumbangan membina kepada proses politik negara,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, DAP juga mahu supaya Sabah dan Sarawak diberikan lebih banyak kuasa dan tanggungjawab untuk membina kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.

Menurutnya, ia sepertimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Kita mahu membina sebuah Malaysia yang boleh dibanggakan bersama. Inilah semangat Muhibah,” katanya.

Sementara itu, beliau menambah, politik dominasi kuasa dan hegemoni kini sudah lapuk.

Tegasnya, hanya politik yang menerima setiap individu sebagai warga dapat mengekalkan muafakat politik yang berasaskan empati, rasa hormat antara satu sama lain, dan saling kepercayaan.

“Inilah muhibah,” katanya. – Roketkini.com