Berita

‘Stadium bola 8,000 orang dah boleh buka, Parlimen bila lagi?’ – Lip Eng

Tindakan kerajaan Muhyiddin Yassin yang terus menerus menggantung sidang Parlimen dipersoal susulan keputusan kerajaan membenarkan penonton masuk ke stadium menyaksikan perlawanan bola sepak dengan pematuhan prosuder operasi standard (SOP) yang ketat.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, jika kerajaan yakin semua penonton mampu mematuhi SOP yang ditetapkan, maka tiada alasan Parlimen tidak boleh bersidang.

“Keputusan untuk membuka semula stadium bola sepak ini dilihat sebagai keyakinan pihak kerajaan terhadap pihak berkuasa dalam memastikan orang ramai mematuhi SOP Covid-19 yang ditetapkan. 

“Sekiranya itu adalah pewajaran yang diberikan oleh pihak kerajaan, keyakinan tersebut juga seharusnya wujud dalam pembukaan semula parlimen. 

“Tambahan pula, SOP bagi memantau dan menjaga 222 ahli parlimen semestinya lebih mudah dan terurus daripada menjaga 8,000 orang,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini. 

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri mengumumkan MKN bersetuju untuk membenarkan penyokong bola sepak pergi menonton perlawanan bola di stadium berkuat kuasa 1 April 

MKN menetapkan syarat hanya 10% atau 2,000 daripada kapasiti penuh stadium dibenarkan untuk hadir menonton, bagi negeri yang berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Bagi negeri-negeri yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula, hanya 25% atau 8,000 daripada kapasiti penuh stadium dibenarkan untuk hadir menonton.

Mengulas lanjut, kata Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, pelbagai langkah telah diambil bagi mengurangkan risiko pendedahan wabak Covid-19 di Parlimen. 

Antara langkah pencegahan yang telah diambil adalah ujian saringan Covid-19 secara berkala untuk ahli Parlimen dan petugas di parlimen, meletakkan penghadang di sekitar kubikel speaker, pematuhan SOP yang ketat selain masa perbahasan dipendekkan. 

“Tiada alasan untuk parlimen tidak dibenarkan bersidang!” tegasnya. 

Malah, tambahnya, pembukaan pelbagai jenis sektor ekonomi juga membuktikan yang negara kini bukan dalam keadaan darurat. 

“Sekiranya Malaysia benar-benar berada di dalam situasi yang genting dan darurat, apakah logik perlawanan bola sepak, majlis perkahwinan besar-besaran, dan majlis hiburan seperti Anugerah Juara Lagu dijalankan? 

“Semestinya bilangan mereka yang hadir ke majlis-majlis seperti ini lebih ramai dari persidangan di parlimen.

“Tamatkan darurat dan benarkan parlimen bersidang!” ujarnya. — Roketkini.com