Berita, Isu Semasa

Kartel: Majlis SU PH gesa Menteri KDN siasat, bertindak

Oleh B. Suffian

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menggesa Menteri Dalam Negeri segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap dakwaan kewujudan ‘kartel’ dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam satu kenyataan, majlis itu berkata, elemen-elemen kartel tersebut tidak boleh dibenarkan menyusup masuk dan mengawal PDRM kerana akhirnya ia akan menghancurkan institusi tersebut.

“Majlis Setiausaha PH mengikuti laporan-laporan media yang memetik Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai berkata wujudnya ‘kartel’…

“(Kartel ini) di kalangan pegawai yang berniat menjatuhkan beliau dengan tujuan meneruskan kerja-kerja kotor serta adanya budaya ‘ambil duit’ dalam pasukan PDRM,” katanya semalam.

Menurutnya, kenyataan-kenyataan itu amat membimbangkan.

Jelasnya, ini kerana seakan wujudnya usaha pihak-pihak tertentu untuk menjejaskan kebebasan dan integriti PDRM.

“(Ini) Secara langsung akan mendatangkan kesan buruk terhadap imej, reputasi dan kewibawaan PDRM itu sendiri,” katanya.

Dalam program Sinar Live baru-baru ini, Abdul Hamid mendedahkan wujudnya gerakan dalaman daripada kalangan pegawai muda dalam PDRM yang bercita-cita untuk menjatuhkan beliau.

Menurutnya, gerakan tersebut juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka. – Roketkini.com