Berita, Kenyataan Akhbar

Mana suara speaker pertahan hak Parlimen bersidang?

Oleh B. Suffian

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kembali mempertahankan kebebasan Parlimen. 

Beliau berkata, speaker perlu mempertahankan hak untuk ahli-ahli Parlimen bersidang, berbahas dan menyemak akauntabilti pentadbiran kerajaan yang kini memberi kesan negatif kepada rakyat.

“Kemuliaan dan kedaulatan institusi pembuat undang-undang ini wajar dipertahankan oleh Speaker Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. 

Hannah berkata, selepas pengumuman kebenaran kehadiran penonton ke stadium dan pembukaan bazar, berita pembukaan persidangan Parlimen masih belum didengar. 

Jelasnya, semua tertanya-tanya di manakah suara Speaker Dewan Rakyat yang sepatutnya menyuarakan dan mempertahankan hak Parlimen untuk dibuka dan kembali bersidang.

“Speaker Dewan Rakyat sepatutnya lebih memahami tujuan dan fungsi Dewan Rakyat sebagai sebuah institusi penggubal undang-undang. 

“Apabila ahli-ahli Parlimen tidak mempunyai ruang untuk membahaskan undang-undang yang mahu diperkenalkan oleh kerajaan, rakyat yang akhirnya menjadi mangsa.

“…dan (rakyat) terpaksa berdepan dengan keputusan Kabinet yang hanya memperkenalkan garis panduan penetapan nilai dan kadar pengurangan selepas arahan mengenakan kompaun RM10,000 telah pun dilaksanakan,” katanya. 

Tanpa persidangan Parlimen, tegas Hannah, penguatkuasaan undang-undang separuh masak seperti itu tidak dapat dibahas dan diperhalusi oleh ahli-ahli Parlimen. – Roketkini.com