Berita, Kenyataan Akhbar

Cubaah bunuh: Muhyiddin digesa beri penjelasan

Oleh Ghafar NS

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan tegas pasukan itu mematahkan cubaan seorang lelaki membunuh beberapa pemimpin negara sebelum ini.

Dalam satu kenyataan media semalam, Majlis Presiden PH turut menyatakan rasa kesal di atas sikap Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang merupakan Menteri Dalam Negeri pada waktu itu, kerana gagal memaklumkan perkara tersebut kepada pimpinan PH serta rakyat Malaysia amnya.

“Kegagalan tersebut menimbulkan persoalan motif sebenar perkara ini disembunyikan daripada pengetahuan pemimpin berkenaan dan kerajaan PH,” tambah mereka.

Malah, kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu menyatakan gesaan terhadap Muhyiddin untuk segera menjelaskan tentang hal tersebut.

Semalam media melaporkan, Unit Cawangan Khas Bahagian Counter Terrorism (E8) menahan seorang lelaki yang mengaku mahu membunuh beberapa pemimpin sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di seluruh negara tahun lalu.

Lelaki berkenaan dilaporkan mengaku merancang serangan secara berseorangan ke atas mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; mantan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Terdahulu, Guan Eng dalam reaksinya di Facebook berkata, beliau secara jujur berasa terkejut dan risau tentang keselamatan diri dan keluarga apabila membaca berita tersebut.

“Harap kita sebagai rakyat Malaysia dapat hindari dan tolak politik dan golongan yang ektremis seperti ini,” tegasnya. – Roketkini.com