Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Penangguhan undi 18 belakangkan suara rakyat, nafi hak anak muda

Oleh Aziera NH

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengecam keras pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan pelaksanaan Undi 18 serta pendaftaran automatik pengundi ke September tahun depan.

Dalam satu kenyataan semalam, Majlis Presiden PH menegaskan, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak patut diadakan selagi Undi 18 tidak dilaksana sepenuhnya.

“Sekiranya PRU-15 diadakan sebelum Undi 18 dilaksana, ianya akan menafikan suara 3.8 juta anak muda dan menjadi dosa terbesar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada generasi yang akan datang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pengumuman itu jelas melanggar keputusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang telah meluluskan pindaan Perlembagaan bersejarah pada Julai 2019 bagi membolehkan warganegara berusia 18 tahun ke atas mendaftar sebagai pengundi serta menjadi calon dalam pilihan raya.

“Tindakan penangguhan ini secara terang-terangan membelakangkan suara rakyat Malaysia, dan menafikan hak anak muda untuk memilih masa depan mereka.

“SPR mesti bertanggungjawab sepenuhnya di atas penangguhan ini yang merupakan satu kegagalan besar kerana melanggari Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu menegaskan, penggantungan Parlimen tidak harus disalahgunakan untuk membelakangkan Perlembagaan dengan sewenang-wenangnya.

“Kegagalan ini juga mencerminkan satu kelompongan SPR yang tidak bebas, menyalahi perjalanan proses perundangan dan betapa lemahnya dedikasi SPR terhadap semangat demokrasi itu sendiri,” jelas kenyataan itu.

Pada masa sama, kenyataan itu menegaskan, Kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri tidak boleh mengelak daripada turut bertanggungjawab atas kegagalan besar tersebut.

“PH berpendirian bahawa Undi 18 mesti dilaksana seperti yang dijadual dan diumum di Parlimen oleh Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyudin Hassan sebelum ini, iaitu Julai 2021.

“Sekiranya jaminan dan janji Takiyuddin tidak ditunaikan maka beliau harus letak jawatan dengan segera,” kata mereka.

Mengulas perkara sama, ahli-ahli Parlimen pembangkang dalam satu kenyataan semalam berkata, pengumuman SPR tersebut adalah satu penghinaan besar terhadap Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan, Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen.

Oleh itu, kenyataan itu memberitahu, keputusan penangguhan pelaksanaan Undi 18 itu adalah kegagalan bersama Jemaah Menteri.

“Perlu diingatkan bahawa Muhyiddin dan Takiyuddin adalah di antara 211 Ahli Parlimen yang telah bersama meluluskan pindaan ini. Oleh itu, Muhyiddin dan Takiyuddin perlu meletakkan jawatan segera,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik. – Roketkini.com