Berita, Rencana

Perancangan lebih komprehensif diperlukan pulihkan pergerakan rentas sempadan Malaysia-Singapura

Oleh Liew Chin Tong

(Pengerusi DAP Johor)

Menteri Besar Johor menyatakan seramai 400,000 orang rakyat Malaysia bekerja di Singapura setiap hari bagi menyara hidup keluarga mereka. Semasa pandemik, mereka terpaksa membuat pilihan yang sukar sama ada duduk di rumah dan menempah risiko terjejasnya kelangsungan hidup, atau menetap di Singapura dan hidup berjauhan dengan keluarga. Sudah tentunya pekerja-pekerja ini mahukan sempadan dibuka dengan segera.

Oleh itu, kekurangan perkembangan dan langkah-langkah yang jelas berkenaan pembukaan sempadan selepas pertemuan antara Menteri Luar Negeri kedua-dua buah negara adalah mengecewakan. Nampaknya, apa yang terhasil hanyalah kenyataan kabur yang tidak memberi sebarang prospek penyelesaian kepada keluarga-keluarga yang terkesan.  

Kami menggesa Menteri Luar Negeri untuk meletakkan isu ini sebagai keutamaan dan bekerjasama dengan agensi dalaman kerajaan dan Singapura untuk membuka semula sempadan dengan segera. Kebimbangan mengenai kes import wabak Covid-19 adalah wajar, tetapi selepas setahun, kita mempunyai pendekatan lain yang jauh lebih berkesan berbanding keputusan untuk menutup sempadan.  

Pertama, pelaksanaan sebuah sistem yang komprehensif dan kukuh bagi ujian saringan dan pengesanan kontak adalah perlu. Seperti di Malaysia dan Singapura, penggunaan aplikasi daftar masuk (MySejahtera dan SafeEntry) sudah lama diwajibkan. Data yang dikumpulkan melalui aplikasi ini mampu mengenalpasti dan mengasingkan kluster baharu dengan cepat dan berkesan, jadi tiada lagi keperluan untuk menutup sempadan. Bagi meningkatkan keyakinan terhadap pendekatan ini, Malaysia dan Singapura perlu berkongsi protokol pengumpulan dan pemprosesan data mereka, dan mungkin juga data daftar masuk, sekurang-kurangnya bagi pekerja rentas sempadan setelah mendapat persetujuan mereka.  

Kedua, pemberian vaksin secara besar-besaran akan mempercepatkan keadaan kembali kepada normal. Perkembangan mengenai keputusan untuk saling mengiktiraf sijil vaksinasi amat memuaskan, tetapi kita perlu mempunyai satu tarikh sasaran dan tahap vaksinasi yang jelas untuk dicapai. Dengan mengambil kira situasi tertentu, kerajaan perlu meningkatkan keutamaan kepada pekerja rentas sempadan, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin. Kerajaan Singapura juga perlu memperluas perancangan program vaksinasi dengan mendaftarkan pekerja Malaysia dalam perkhidmatan penting di Singapura ke dalam program mereka bagi mempercepatkan proses imunisasi. 

Dalam hal ini, kadar pendaftaran vaksin yang rendah di Johor amat membimbangkan. Usaha penerangan bagi mengurangkan keraguan rakyat terhadap vaksin perlu ditambah. Perancangan masa yang jelas dan tersusun akan juga menjadi satu insentif bagi menggalakkan orang ramai mendaftar. 

Akhir sekali, inisiatif-inisiatif yang dicadangkan ini perlu menjadi sebahagian perancangan yang komprehensif dan berdasarkan perangkaan masa – beserta langkah dan tarikh sasaran yang jelas. Selepas setahun, kita mempunyai pandangan yang lebih menyeluruh mengenai kaedah untuk menyelesaikan permasalahan ini dan tidak ada alasan untuk mengeluarkan kenyataan yang kabur dan komitmen yang tidak jelas. Kita tidak boleh mengenepikan isu ini, para pekerja Malaysia yang merentasi sempadan untuk bekerja di Singapura adalah amat penting buat kedua-dua buah negara, dan ahli keluarga mereka juga telah menanggung keperitan buat begitu lama.