Berita, Isu Semasa

Undi 18: Pengerusi SPR patut letak jawatan

Oleh B. Suffian

Datuk Abdul Ghani Salleh patut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan membuka ruang kepada seorang pengerusi baharu yang boleh memenuhi mandat Parlimen untuk memastikan rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas dapat mengundi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, pengumuman SPR semalam yang mengatakan rakyat Malaysia yang berusia di antara 18 sehingga 21 tahun mungkin tidak akan dapat turut serta mengundi dalam PRU akan datang adalah satu bentuk pencabulan mandat Parlimen.

Menurutnya, Parlimen secara sebulat suara telah meluluskan suatu pindaan Perlembagaan pada bulan Julai 2019 untuk membolehkan rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas untuk mengundi dan juga untuk membolehkan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.

Tambahnya, pindaan Perlembagaan itu telah diwartakan pada 10 September 2019.

“Perkara ini bukan sahaja menjadi satu pencabulan hak Parlimen untuk merendahkan had umur mengundi kepada 18 tahun, tetapi menunjukkan kegagalan SPR untuk memastikan rakyat Malaysia yang telah mencapai usia 18 tahun dapat mengundi dalam pilihan raya umum yang akan datang walaupun selepas dua tahun pindaan ini diluluskan oleh Parlimen.

“Perkara ini juga merupakan satu pencabulan janji Pakatan Harapan (PH), memandangkan tanpa sebarang ragu-ragu, sekiranya Langkah Sheraton yang membawa masuk kerajaan pintu belakang pada hujung bulan Februari 2020 tidak berlaku, rakyat Malaysia yang telah cukup umur 18 tahun pasti akan dapat mengundi dalam PRU ke-15 yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Kit Siang memberitahu, keputusan SPR untuk menunda pelaksanaan Undi 18 termasuk pendaftaran pengundi secara automatik kepada 1 September tahun hadapan adalah satu perkara yang tidak boleh diterima sama sekali dan Pengerusi SPR berhadapan dengan kesalahan yang boleh membawa kepada pemecatan sekiranya Parlimen tidak digantung.

Tambahnya, Abdul Ghani perlu bertindak dengan berintegriti dan penuh bermaruah dan meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi SPR memandangkan beliau telah gagal untuk memastikan SPR berjaya melaksanakan mandat Parlimen untuk menurukan had umur mengundi.

Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Parlimen) Datuk Takiyuddin Hassan, telah memberitahu Parlimen pada bulan November tahun lalu yang pelaksanaan penurunan had umur mengundi dan pendaftaran pengundi secara automatik dijangka akan berkuatkuasa selewat-lewatnya pada bulan Julai tahun ini.

Jelasnya, Takiyuddin berkata yang SPR sedang bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara melalui jawatankuasa khas kedua-dua pihak tersebut untuk membuat persediaan untuk melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik dan persiapan untuk perkara-perkara lain.

“Semua persiapan ini dijangkakan selesai dalam masa 18 ke 24 bulan daripada tarikh kelulusan pindaan perlembagaan ini oleh Dewan Negara pada 25 Julai 2019.

“Jadi, mengapakah tiba-tiba terdapat pengumuman daripada SPR untuk menangguhkan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik kepada 1 September 2022?” soalnya. – Roketkini.com