Berita, Isu Semasa, Uncategorized

Hannah persoal hala tuju KPWKM

Oleh Aziera NH

Mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh mempersoalkan hala tuju kementerian itu di bawah pimpinan Datuk Seri Rina Harun.

Hannah berkata, hala tuju kementerian itu dilihat sangat berbeza berbanding semasa di bawah pimpinan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Apa sudah jadi dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)?

“Hala tuju KPWKM di bawah pimpinan Dr. Wan Azizah yang menekankan aspek keselamatan kanak-kanak, pembangunan keluarga dan keselamatan sosial untuk wanita sudah agak berbeza dengan pimpinan Menteri Wanita Perikatan Nasional (PN) sekarang,” katanya di Facebook semalam.

Ini adalah respon Hannah berikutan hantaran Facebook kementerian itu yang didakwa kini lebih aktif berkongsi tentang aktiviti keusahawanan dan tidak lagi berfokus kepada kebajikan wanita, keluarga dan kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut turut melontarkan persoalan:

“Bukankah kita sudah ada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang sudah ada bajet khas untuk membantu usahawan wanita?”

Menurutnya, hala tuju KPWKM di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) dahulu menekankan aspek keselamatan kanak-kanak, pembangunan keluarga dan keselematan sosial untuk wanita.

Dalam hantaran sama, Hannah juga mempersoalkan mengapa KPWKM tidak fokus kepada Rang Undang-undang Gangguan Seksual dan agensi kanak-kanak yang hanya boleh dilakukan oleh KPWKM dan bukan kementerian lain. – Roketkini.com