Uncategorized

Teater Impian buat Kit Siang kagum, terharu — terus fikirkan generasi masa depan

Oleh Ghafar NS

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang melahirkan rasa kagum dan terharu dengan projek Teater Impian, yang mempamerkan 100 karya seni berkait perjuangan politiknya daripada 80 seniman tempatan pelbagai latar kaum dan agama.

Veteran DAP berusia 80 tahun itu juga menyifatkan projek tersebut merupakan hasil kerja kasih sayang, solidariti dan idealisme selama dua tahun oleh penaja, Datuk K.Y. Chan; Ahli Parlimen Damansara merangkap kurator bersama, Tony Pua; kurator Kenny Teng dan Wendy Chang.

Galeri Seni Teater Impian itu melakar perjalanan 55 tahun Kit Siang berjuang, berhadapan dengan dugaan, cabaran yang penuh bermakna dalam usaha mewujudkan Malaysia yang diimpikannya.

Menurut Kit Siang, beliau lebih memikirkan mengenai masa depan berbanding masa lalu.

Kit Siang memberitahu, rakyat hari ini harus sedar akan intipati Impian Malaysia yang paling utama adalah ‘kita semua rakyat Malaysia walaupun hidup dalam kepelbagaian.’

“Untuk Impian Malaysia ini menjadi kenyataan, ia tidak boleh menjadi milik para ahli politik tetapi perlu menjadi impian bersama semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau latar wilayah,” tegasnya.

Kit Siang juga melahirkan harapan agar ‘Teater Impian, Impian Malaysia’ dapat memberi semangat kebangkitan pada generasi baru, bangkit daripada rasa kecewa setelah pengkhianatan mandat rakyat menerusi Langkah Sheraton.

Katanya lagi, misi menyatukan Malaysia perlu diteruskan bagi merealisasikan impian Bapa Malaysia supaya negara ini menjadi ‘sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu.’

Semalam, Teater Impian dengan jayanya dirasmikan pembukaannya dan akan dibuka secara rasmi untuk kunjungan ramai bermula 31 Mac 2021 ini daripada pukul 11 pagi sehingga 5 petang pada setiap hari Selasa hingga Sabtu.

Lokasi pameran:
Theatre Impian, C-03-03 Aurora Place, Jalan Persiaran Jalil 1, 57000 Kuala Lumpur

Google Maps – https://goo.gl/maps/yJqSXymkf1D8M3TH9