Uncategorized

Buat ‘pusingan U’ juga untuk isu saman RM10 ribu – Guan Eng

Oleh Ghafar NS

Pelanggar Perintah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepatutnya dibenarkan menghadiri temu siasat dan dikenakan tindakan advokasi, bukan terus dikenakan saman kompaun keras RM10,000.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ini berikutan ‘pusingan U’ yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong melibatkan kesalahan menggunakan motosikal dengan ekzos bising.

“Ini menimbulkan persoalan penting mengapa kerajaan tidak dapat membuat pusingan U yang sama terhadap denda melampau RM10,000 yang dikenakan kepada individu dan denda RM50,000 pada syarikat yang melanggar sekatan PKP Covid-19.

“Denda yang melampau itu sama kejamnya jika tidak lebih lagi daripada penunggang motosikal yang menggunakan ekzos bising. Rakyat biasa tidak kaya seperti menteri, untuk mampu membayar denda RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Media melaporkan, Ka Siong berkata, kesalahan menggunakan ekzos bising motosikal hanya akan dikenakan tindakan advokasi buat masa ini, iaitu pengeluaran notis untuk temu siasat.

Ka Siong menambah, perkara itu telah dimaklumkan olehnya kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim agar pesalah tidak dikenakan tindakan saman.

Kerajaan sebelum ini menguatkuasakan saman hingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan kepada pemilik motosikal yang mengubah suai kenderaan menggunakan ekzos bising.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, DAP telah menubuhkan pasukan guaman di setiap negeri bagi mewakili serta membantu secara percuma rakyat yang dikenakan kompaun melampau RM10,000 kepada individu serta RM50,000 untuk syarikat perniagaan.

Guan Eng turut meminta Ka Siong menjelaskan mengapa beliau tidak menekan Kabinet untuk membuat pusingan U yang serupa terhadap denda yang melampau terbabit. – Roketkini.com