Berita, Rencana

Isu kartel polis libatkan rasuah, SPRM wajar siasat

Oleh Gobind Singh Deo

(Ahli Parlimen Puchong)

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki telah menyatakan bahawa SPRM tidak berhasrat untuk campur tangan di dalam isu ‘kartel’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ianya merupakan satu masalah dalaman PDRM.

Beliau juga berkata bahawa SPRM yakin dengan kemampuan dan kredibiliti PDRM untuk menyelesaikan isu tersebut, dan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador juga telah membuat kenyataan bahawa isu berkenaan boleh diselesaikan PDRM sendiri.

Ketua Polis Negara tidak hanya bercakap mengenai kewujudan sebuah ‘kartel’ di dalam pasukan polis sahaja tetapi rasuah juga. Adakah pendedahan ini juga hanya satu isu dalaman yang SPRM fikirkan dapat diselesaikan secara dalaman oleh PDRM?

Jika begitu, adakah semua jabatan, sama ada awam atau swasta di mana kes sebegini berlaku, patut hanya melakukan siasatan dalaman sahaja? Jikalau begitu, mengapakah sebelum ini terdapat kes serupa yang dikendalikan secara berbeza, disiasat oleh SPRM dan kemudiannya didakwa di mahkamah? Kenapa tidak kes-kes tersebut dikendalikan secara dalaman sahaja?

Kita ada undang-undang di negara ini dan laporan mengenai seseorang mengambil atau menerima rasuah di dalam sektor awam atau swasta terletak di bawah bidang kuasa Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009. Salah satu tujuan utama SPRM ditubuhkan adalah untuk mengendalikan masalah sebegini dan SPRM telah diberikan kuasa yang luas bagi tujuan ini.

Datuk Seri Azam Baki berkata beliau yakin bahawa isu ini dapat diselesaikan oleh pihak polis sendiri, namun itu bukanlah isunya. 

Perkara ini adalah satu persoalan undang-undang.

Aspek penting di dalam sesuatu siasatan adalah untuk memastikan tiada unsur berat sebelah oleh pihak yang mengendalikannya. Perkara ini untuk memastikan keadilan kepada semua pihak yang terlibat di dalam siasatan tersebut.

Mereka yang mengendalikan siasatan seharusnya tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam perkara tersebut mahupun mempunyai sebarang hubungan dengan mereka yang akan disiasat. Maka, bagaimanakah sebuah siasatan dalaman boleh memadai apabila kes ini melibatkan pihak polis itu sendiri? Oleh sebab itulah SPRM perlu dilibatkan. 

Mungkin Datuk Seri Azam Baki perlu mendapatkan nasihat undang-undang daripada Peguam Negara. Perkara ini adalah satu perkara yang serius yang melibatkan kepentingan awam. Jika kita benar-benar mahu membersihkan dan memperkasakan pasukan polis dengan menyelesaikan permasalahan seperti ini, maka marilah kita melakukannya dengan langkah yang betul, ke arah haluan yang betul.  — Roketkini.com