Berita

Sesi libat urus P. Pinang bukti sidang sama boleh dijalankan di Parlimen

Oleh B. Suffian

Sesi libat urus antara Exco kerajaan negeri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pinang yang berlangsung di negeri itu membuktikan bahawa persidangan sama boleh dijalankan di peringkat Parlimen dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyeru Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memanggil persidangan Parlimen dalam kadar segera.

Menurutnya, ini kerana fungsi badan perundangan adalah amat diperlukan bagi membolehkan setiap ahli Parlimen memainkan peranan masing-masing terutamanya semak dan imbang walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19 kini.

“Kita tidak nampak mengapa tadika, pasar malam, pawagam dan sebagainya boleh dibuka kecuali Parlimen.

“Pendekatan memanggil persidangan Parlimen adalah bagi memastikan agensi-agensi kerajaan kekal proaktif dan sentiasa peka serta prihatin terhadap isu-isu rakyat selain badan eksekutif dapat dipantau dengan rapi,” katanya semalam.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong mengucapkan syabas kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berjaya mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Alternatif dengan mematuhi SOP.

Ketika Parlimen masih ditutup dengan pelbagai alasan, kata beliau, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk meneruskan kerja pentadbiran dan proses penggubalan dasar.

“Tanggungjawab sebagai ahli pentadbiran dan wakil rakyat perlu diteruskan apabila pelbagai langkah sudah dilaksanakan bagi membenarkan pelbagai aktiviti seperti sidang mesyuarat, sekolah, dan lain-lain aktiviti dengan selamat,” katanya. – Roketkini.com