Uncategorized

DAP terus kerja, rakyat diutama

Oleh Ghafar NS

Ketika negara masih bergelut dalam kemelut politik, pandemik dan ekonomi kini, kehidupan rakyat terkesan dengan amat teruk.

Sehubungan itu selaras slogan Demokratik, Adil dan Peduli, wakil-wakil rakyat DAP terus proaktif laksanakan tanggungjawab bantu rakyat di kawasan masing-masing.

Salah satu bantuan itu adalah melibatkan Sophia, seorang penduduk di Kota Kinabalu yang sebelum ini hilang kerja sebagai kerani sejak awal tahun.

Dia telah menjadi ‘walker’ perkhidmatan Foodpanda iaitu penghantar makanan yang dipesan dengan berjalan kaki sahaja.

Kisah kecekalannya dalam meneruskan kehidupan tersiar di akhbar Sinchew Daily dan mendapat perhatian Alex, iaitu rakan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin yang menetap di Kuala Lumpur.

Maka dengan bantuan Alex, Foong Hin dan Ketua Unit Tindak DAP Kota Kinabalu, Kaven Lee, Sophia menerima sebuah basikal, topi keledar, lampu basikal serta pemegang telefon bimbit petang tadi.

Bantuan itu semestinya dapat memudahkan Sophia untuk meneruskan kehidupannya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dilihat terus lantang menyuarakan masalah yang dihadapi para pelajar serta ketidakcekapan kerajaan dalam menangani isu-isu pendidikan saat pandemik.

Tidak hairanlah begitu kerana Nie Ching merupakan mantan Timbalan Menteri Pendidikan ketika zaman pentadbiran Pakatan Harapan.

Baru-baru ini, beliau telah menyampaikan sumbangan tablet kepada lima buah rumah sekitar Kelapa Sawit, Kulai, Johor.

Sumbangan tablet itu bertujuan memudahkan para pelajar mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Inisiatif diambil bagi memudahkan mereka untuk terus belajar walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19.

“Kesungguhan anak-anak ini akan membuahkan mereka kejayaan kelak,” katanya di laman Facebook.

Nie Ching juga menzahirkan penghargaan kepada orang awam yang menyumbang serta pihak Huawei atas bantuan untuk menjayakan program tersebut.

Selain itu, wakil-wakil rakyat DAP menerusi pusat-pusat khidmat rakyat mereka kini juga aktif membuka kaunter pendaftaran program vaksinasi Covid-19.

Usaha ini bagi membantu penduduk di kawasan masing-masing membuat pendaftaran terutama untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) setempat.

Antaranya, Ahli Dewan Undangan (Adun) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran bersama pasukannya yang membuka kaunter di Pasar Pekan Lama bagi membantu masyarakat di kawasannya.

Beliau juga memberi panduan kepada pengikut-pengikut di media sosialnya cara-cara untuk membantu orang lain membuat pendaftaran program vaksinasi tersebut.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng pula bukan sahaja membuka kaunter pendaftaran vaksin, tetapi juga membantu penduduk daftar mengundi dan mengedarkan bekalan makanan kepada yang hadir.

Adun Ketari, Young Syefura Othman juga turut membuka kaunter pendaftaran program vaksinasi di kawasan perkampungan Orang Asli bagi memastikan mereka tidak ketinggalan, walaupun capaian Internet kurang memuaskan.

Adun Paloh, Sheikh Omar Ali; Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei; Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming; Adun Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof; Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin dan ramai lagi wakil rakyat DAP menjalankan inisiatif sama di kawasan masing-masing.

Langkah itu demi memastikan penduduk di kawasan masing-masing didaftarkan dalam program vaksinasi Covid-19.

Sementara itu, DAP di setiap negeri telah menubuhkan pasukan guaman untuk menjadi wakil di mahkamah dan membantu secara percuma mereka yang dikenakan kompaun melampau RM10,000 kepada individu dan RM50,000 untuk perniagaan.

Ini merupakan inisiatif besar daripada DAP dalam membantu rakyat yang rata-rata merasakan kompaun tersebut amat ‘keras’, besar jumlahnya dan tidak mampu untuk mereka langsaikan.

Walaupun sama-sama merasa sulit dalam pandemik ini, malah tidak mendapat kerjasama selayaknya daripada kerajaan, namun tugas serta amanah untuk rakyat tetap diangkat serta dilaksanakan semampu mereka. – Roketkini.com