Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Hentikan siasatan himpunan Undi 18, fokus pada skandal kartel polis – Guan Eng

Oleh Aziera NH

Pihak polis digesa menghentikan siasatan terhadap peserta perhimpunan aman Undi 18, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Sebaliknya, beliau berkata, pasukan itu sepatutnya menghabiskan lebih banyak masa, sumber dan usaha untuk menyiasat skandal kartel polis yang didakwa telah menerima wang sindiket jenayah.

Menurutnya, kartel polis lebih berbahaya dan mengancam keselamatan awam berbanding perhimpunan aman yang dilakukan hanya untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan dengan pelaksanaan penurunan usia mengundi kepada 18 tahun.

“Polis mempunyai perkara yang lebih penting untuk dilakukan daripada menyiasat perhimpunan aman Undi 18 yang membantah keputusan kerajaan yang memungkiri janjinya.

“Lagi pun, tidak ada jalan lain bagi mereka yang membantah untuk meminta Ahli Parlimen mereka menyuarakan rungutan dan ketidakpuasan mereka, setelah penggantungan tidak wajar Parlimen oleh Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – Roketkini.com