Isu Semasa, Rencana

Undi 18: Kerajaan PN jangan lari dari tanggungjawab

Oleh Aziera NH

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu bertanggungjawab terhadap penangguhan perlaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman berkata, Kerajaan PN jangan cuba lari daripada tanggungjawab dengan mengalihkan beban kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Tindakan menangguhkan pelaksanaan rang undang-undang (RUU) ini adalah satu pengkhianatan kepada anak muda Malaysia.

“Apabila proses pindaan dilakukan lebih dua per tiga ahli Parlimen memberikan sokongan termasuklah beberapa ahli Parlimen yang kini menukar nada terhadap perlaksanaan Undi 18,” tegasnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Young Syefura, alasan yang diberikan oleh SPR adalah tidak munasabah iaitu dengan mengatakan bahawa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sebab yang menjejaskan persiapan SPR.

“SPR seharusnya sudah pun menjalankan persiapan untuk melaksanakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 kerana pindaan RUU ini telah pun diluluskan pada 16 Julai 2019.

“Walaupun berlakunya pertukaran kerajaan, ini tidak sepatutnya menjejaskan usaha SPR sebagai badan berkecuali yang menjalankan urusan mengenai hal ehwal pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Young Syefura memberitahu, beliau telah dipanggil oleh pihak polis untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersabit dengan siasatan melibatkan himpunan Undi 18 di hadapan Parlimen baru-baru.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Akta Perhimpunan Awam dan Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit. – Roketkini.com