Uncategorized

DAP optimis realisasikan Impian Malaysia – Kit Siang

Oleh Ghafar NS

DAP mengimpikan sebuah negara yang mana semua rakyatnya dikenali sebagai rakyat Malaysia pertamanya (Malaysian First) sebelum identiti-identiti lain seperti kaum ataupun agamanya.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, sejak terbentuknya DAP pada tahun 1966, DAP mematuhi komitmen jangka panjangnya untuk membina sebuah negara Malaysia yang bersatu padu, harmoni, adil dan makmur dengan pelbagai latar kaum, agama serta budaya untuk merealisasikan ‘Impian Malaysia’ .

“Inilah intipati Impian Malaysia, bahawa walaupun rakyat Malaysia akan terus mempunyai pelbagai identiti — etnik, agama, budaya — kita semua pertamanya adalah rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada 4 April lalu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan bahawa DAP adalah parti yang ‘kadangkala boleh menjadi ekstrem’ apabila menjawab soalan sama ada UMNO mampu jalin kerjasama bersama DAP.

Menjawab dakwaan Dr. Mahathir tersebut, Kit Siang menegaskan bahawa DAP tidak pernah bersifat ekstremis melainkan berusaha gigih untuk merealisasikan Impian Malaysia.

Kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, DAP telah difitnah sejak 55 tahun yang lepas oleh para pelampau di kedua-dua sudut spektrum politik.

Menurutnya, di satu pihak dituduh sebagai anti-Melayu, anti-Islam anti-Raja dan di sisi lain sebagai menggadaikan hak dan kepentingan orang Cina Malaysia dan Orang India kerana berani menerapkan Impian Malaysia.

KUALA LUMPUR 31 AUGUST 2016. Orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan perbarisan sempena Hari Kebangsaan ke-59 yang bertemakan #SehatiSejiwa di Dataran Merdeka hari ini. [kredit gambar] NSTP/GHAZALI KORI

“Harapan saya agar semua rakyat Malaysia, termasuk pengamal politik perkauman dan keagamaan sebelum ini, akan menerapkan Impian Malaysia — kerana inilah satu-satunya jalan bagi Malaysia untuk kembali menjadi sebuah negara bertaraf dunia.

“Dan memenuhi aspirasi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman agar Malaysia menjadi ‘sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu’.” katanya. – Roketkini.com