Berita

6 cadangan lindungi ‘rider’ p-hailing kita

Oleh B. Suffian

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim mencadangkan beberapa langkah yang patut dikuatkuasakan oleh kerajaan bagi melindungi penunggang (rider) perkhidmatan penghantaran makanan p-hailing di negara ini.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, langkah-langkah perlindungan itu adalah:

  1. Memberi insentif bersasar kepada rider p-hailing agar mereka mencarumkan diri di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri 2017.
  2. Mewajibkan syarikat penyedia perkhidmatan penghantaran menyediakan alat-alat keselamatan rider yang memenuhi piawaian.
  3. Melaksanakan sistem upah yang lebih baik kepada rider.
  4. Melaksanakan insentif masa penghantaran lebih munasabah yang tidak memaksa rider bergegas mengejar masa dan terburu-buru.
  5. Melaksanakan sistem rating yang lebih adil dan mengutamakan keselamatan rider terutamanya semasa di jalan raya.
  6. Mewujudkan sebuah tribunal bebas bagi sektor p-hailing (dan e-hailing) untuk mengendalikan rayuan dan aduan permasalahan antara rider dengan syarikat.

Baru-baru ini, kerajaan telah melaporkan bahawa sepanjang setahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lebih dua pertiga daripada 2,576 kes kematian penunggang motosikal melibatkan penunggang penghantaran barangan dan makanan ataupun rider p-hailing.

Berikutan itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong telah mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan peraturan baru untuk mengawal selia sektor p-hailing.

Dalam pada itu, Steven berkata, dalam penyediaan peraturan kawal selia tersebut, beliau menyeru kerajaan agar jangan terlalu menekan rider dengan pelbagai kekangan baru.

“…sebaliknya melihat kepada bagaimana untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat dan selamat bagi rider sektor p-hailing,” katanya. – Roketkini.com