Berita

Agenda inklusif DAP jadi daya tarikan

Oleh Roketkini

Keterbukaan, inklusiviti, ketelusan dan integriti yang ada pada parti DAP menjadi daya tarikan rakyat pelbagai kaum termasuk golongan muda Melayu, untuk memilih parti itu.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, parti itu telah berjaya menarik golongan profesional, cerdik pandai dan anak-anak muda Melayu.

Menurutnya, golongan-golongan itu telah menjadi sebahagian daripada pemimpin yang berwibawa dalam parti.

“Selama beberapa dekad ini, haluan parti DAP adalah betul,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Sebagai seorang Melayu dalam DAP, Tengku Zulpuri Shah yang juga Ahli Parlimen Raub berkata, beliau melihat DAP jauh ke hadapan dalam soal-soal melibatkan masyarakat berbilang kaum.

Tambahnya, parti itu juga ke depan dalam menolak ideologi cauvinis serta pemikiran sempit secara konsisten dan bersungguh-sungguh.

Pendekatan DAP tersebut katanya, membawa kegerunan dalam kalangan parti lawan.

Tengku Zulpuri Shah berkata, hala tuju perjuangan DAP juga wajar diterangkan secara berterusan kepada semua termasuk penyokong, pendukung serta akar umbi parti.

Beliau berkata, mesej yang perlu diterapkan adalah ‘semua kita adalah rakyat Malaysia walau di mana jua kita berada.’

“(Melaluinya) Pecah perintah, perkauman dan kebencian agama dapat kita hindari.

“Ini supaya generasi baru Malaysia lebih sayang menyanyangi dan melahirkan Malaysia yang bebas, berdasarkan prinsip-prinsip hak kemanusian, kesaksamaan keadilan ekonomi dan sosial,” katanya. – Roketkini.com