Uncategorized

DAP salur bantuan Ramadan, ringankan beban rakyat

Oleh Ghafar NS

Ramadan adalah bulan mulia buat umat Islam dan dalam bulan ini, ramai yang berpusu-pusu mengumpul amalan kebaikan, terutamanya berkongsi rezeki kepada yang memerlukan.

Wakil-wakil rakyat DAP daripada pelbagai latar kaum dan agama tidak ketinggalan, aktif menghulur sumbangan kepada penduduk di kawasan masing-masing.

Menerusi program Ziarah Kasih Segambut, ahli Parlimennya, Hannah Yeoh telah membantu keluarga warga emas di Kampung Sungai Penchala di awal Ramadan lalu dengan menghulurkan bantuan yang diperlukan, serta membantu mendaftarkannya dalam program vaksinasi Covid-19.

Baru-baru ini pula, Hannah Yeoh telah membeli sayuran segar daripada petani tempatan, lalu mengedarkannya kepada 50 buah keluarga di Kampung Segambut Dalam.

Hannah Yeoh bersama SU Politiknya, Nor Miswary Ramli menyampaikan pek bantuan sayuran kepada penduduk

Ini bagi meringankan beban mereka yang memasak untuk juadah berbuka atau bersahur dalam bulan Ramadan ini.

Pada 17 April 2021, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai yang telah menerima mesej daripada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, telah membantu Puan Hida sekeluarga yang mana anak mereka, Nur Qalesya (5 bulan) menghidap penyakit Dekstrokardia (jantungnya terletak di sebelah kanan dada dan juga baru sahaja selesai operasi pediatrik).

Sempena Ramadan ini, pejabat Kok Wai menghulur bantuan barang keperluan asas serta wang tunai kepada Puan Hida sekeluarga, lebih-lebih lagi apabila suaminya telah kehilangan pekerjaan pada penghujung tahun 2020 dan kini mereka hidup dalam kesempitan.

Tan Kok Wai (tengah) bersama pasukannya datang membawa barang keperluan dan bantuan kewangan untuk Puan Hida sekeluarga

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pula pula telah menyampaikan buah kurma kepada Masjid Kubang Buaya pada hari pertama Ramadan untuk diedarkan kepada Muslimin dan Muslimat di kawasan tersebut.

Lim Guan Eng menyampaikan sumbangan buah kurma

Dalam pada itu, Guan Eng dan Zakat Pulau Pinang turut mengagihkan bantuan zakat kepada golongan fakir miskin di Parlimen Bagan bagi meringankan beban mereka dalam membuat persiapan sempena Ramadan.

Sumbangan pada tahun ini diberikan dalam bentuk voucher yang membolehkan penerima memilih sendiri barangan runcit yang mereka perlukan dan ini merupakan cadangan Guan Eng dalam Sesi DUN Pulau Pinang yang lalu.

Di Saleng, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dengan bantuan Ketua Kg Melayu Saleng, Tok Shahul dan Haji Hisham selaku Pengerusi NGO Peduli Kulai telah berjaya menyalurkan bantuan sumbangan kepada 20 buah keluarga memerlukan.

Teo Nie Ching (baju kurung kuning) bersama penduduk Kg Melayu Saleng

Di samping itu, Nie Ching dengan kerjasama Adun Senai, Alan Tee Boon Tsong serta pasukan mereka telah mengedarkan  buah kurma di Pejabat-Pejabat Kerajaan sekitar Daerah Kulai.

Di Johor juga, Adun Paloh, Sheikh Omar Baghrib Ali bersama Pakatan Harapan (PH) Paloh serta ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi turut menjalankan aktiviti memasak dan mengedarkan bubur lambok kepada penduduk di kawasan masing-masing secara percuma.

Wong Shu Qi (kiri) bersama penduduk kampung mengacau bubur lambok
Satees Muniandy (tengah) menyampaikan baucar Zakat Pulau Pinang kepada penerima yang layak
Sheikh Omar Ali (berbaju hijau) menyampaikan bubur lambok dan paket kurma kepada peniaga bazar

Selain daripada itu, ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto; ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming; Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid; Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy, dan ramai lagi wakil rakyat DAP yang berusaha semampu mereka bagi menghulurkan bantuan sepatutnya kepada mereka yang memerlukan dalam bulan Ramadan ini.