Uncategorized

Darurat, penggantungan Parlimen gagal kurangkan kes Covid-19

Oleh Ghafar NS

Darurat dan penggantungan sidang Parlimen boleh disimpulkan sebagai punca kemungkinan Malaysia dilanda gelombang keempat Covid-19.

Malah Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, kemungkinan jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak digulingkan menerusi konspirasi Langkah Sheraton dan Malaysia tidak ditadbir kerajaan pintu belakang, tidak kompeten, tidak demokratik dan tidak sah ini, negara mungkin dapat terhindar daripada gelombang kedua dan ketiga pandemik Covid-19.

“Jelas bahawa pengisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen yang kononnya untuk memerangi pandemik Covid-19 adalah sebuah kegagalan yang luar biasa.

“Adalah pelik apabila Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin, semalam berkata bahawa pengisytiharan darurat telah memungkinkan kerajaan untuk menangani situasi Covid-19 di negara ini dengan lebih baik.

Status Covid-19 pada 23 April 2021

“Entah menteri kanan mana boleh menjelaskan peningkatan kes harian Covid-19 yang melepasi angka 2,000 selama enam hari berturut-turut ini sebagai satu usaha ‘mengurangkan kes Covid-19 secepat mungkin’?” tambah Kit Siang dalam satu kenyataannya hari ini.

Dua persoalan turut diajukan Kit Siang kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN):
1) Adakah Kabinet akhirnya akan menumpukan pada keperluan untuk membentuk strategi dan pendekatan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’ dalam usaha memerangi Covid-19 dengan memulakan semula sidang Parlimen?
2) Adakah darurat akan dilanjutkan selepas bulan Ogos hingga tahun depan atau lebih lama lagi dengan alasan keadaan Covid-19 yang semakin memburuk, sehingga PN dapat memperkukuh kerajaan pintu belakangnya dan melindungi kakistokrat? – Roketkini.com’