Isu Semasa, Rencana

Isu periksa pelajar haid: Menteri perlu bertindak segera

Oleh Aziera NH

Ahli Parlimen Kluang, Teo Nie Ching menggesa Menteri Pendidikan, Radzi Md Jidin dan dua timbalannya untuk bertindak susulan laporan berhubung amalan memeriksa pelajar perempuan yang datang haid terutama di sekolah berasrama penuh.

Nie Ching yang juga merupakan mantan Timbalan Menteri Pendidikan berkata, tiada garis panduan yang membolehkan guru untuk berbuat demikian.

“Mutakhir ini, negara dikejutkan dengan isu buli dan gangguan seksual yang berlaku dalam institusi pendidikan kita – atas nama spot check haid.

“Sepanjang pengetahuan saya, tiada garis panduan yang membolehkan cikgu melakukannya. Jadi mengapa ia berlaku?” soalnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Nie Ching, amat mengejutkan apabila setakat ini Kementerian Pendidikan (KPM) masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

“Dan apa yang mengejutkan kita adalah seorang menteri kanan dengan dua timbalan (Muslimin Yahaya dan Mah Hang Soon), semuanya lelaki, seperti tidak sensitif dan tidak peduli dengan hal yang menakutkan ini,” katanya.

Mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh juga senada dan berkata, amalan pemeriksaan haid pelajar memalukan para pelajar dan melanggar hak asasi mereka.

Menurut Hannah, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang hak asasi kanak-kanak perlu disemai dalam setiap lapisan masyarakat dan institusi di negara ini.

“Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Rina Harun) perlu mengadakan pertemuan segera dengan menteri pendidikan dan pihak berwajib untuk mengkaji dan menghentikan amalan tersebut jika ia benar-benar berlaku,” jelasnya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lim Yi Wei juga menggesa amalan berkenaan dihentikan segera.

Yi Wei berkata, normalisasi pemeriksaan haid yang mencabuli autonomi kanak-kanak dan berbentuk gangguan seksual berpotensi menjadikan sekolah sebagai sasaran pemangsa seksual kanak-kanak.

“Saya juga ingin menyeru semua ibu bapa yang membantah pemeriksaan haid untuk menyatakan bantahan mereka kepada KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tempat tinggal masing-masing,” kataanya. – Roketkini.com