Uncategorized

PN gagal, berterusan bawa Malaysia ke arah yang salah – Guan Eng

Ucapan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semasa Konvensyen Biasa Negeri DAP, Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada 25.4.2021.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencatatkan kadar sokongan 67% di Semenanjung Malaysia walaupun dia gagal menguruskan tiga krisis berganda COVID-19, ketidakstabilan politik, dan kemelesetan ekonomi. Namun, beliau nampaknya terus rasa tidak selamat dari segi politik walaupun tinjauan terbaru Merdeka Center mendapati kadar sokongan 83% dari orang Melayu, 30% dari orang Cina dan 66% dari orang India.

Muhyiddin sepatutnya dengan yakin membuka semula Parlimen dan bersiap sedia untuk memanggil pilihan raya umum bagi mendapatkan mandat pilihan raya sendiri untuk meneutralkan stigma pengkhianatan dan membentuk kerajaan yang tidak dipilih rakyat. Sebaliknya Muhyiddin terus menggantung Parlimen dan menggunakan kuasa darurat untuk meluluskan Belanjawan Tambahan yang bernilai puluhan bilion ringgit dan bahkan mengusik Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN), yang tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

Kadar sokongan 67% kepada Muhyiddin adalah luar biasa bagi Kerajaan PN yang gagal yang menyebabkan Malaysia mencatat jumlah kes COVID-19 tertinggi di ASEAN dari segi per kapita dan kadar vaksinasi yang rendah, kegagalan untuk pemulihan cepat dari krisis ekonomi yang semakin parah dan krisis berterusan ketidakstabilan politik setelah kehilangan majoriti parlimen.

Untuk mendapat sokongan 83% di kalangan orang Melayu yang tidak senang dengan keadaan COVID-19 yang semakin teruk dan kenaikan harga makanan dan keperluan asas, kadar sokongan setinggi 30% dan 66% dari orang Cina dan India yang dipinggirkan oleh Kerajaan PN dengan pemikiran rasis dan ekstremis agama, dilihat sebagai di luar realiti. Hal ini dicerminkan melalui tinjauan yang sama yang secara paradoks, menunjukkan bahawa 46% responden percaya bahawa negara ini “menuju ke arah yang salah”, lebih dari 41% yang percaya bahawa negara sedang bergerak ke “arah yang betul”.

Jelas Kerajaan PN yang tidak dipilih rakyat tidak dapat membawa negara ke arah yang betul sekali lagi. Biarkan demokrasi menang dengan membenarkan Parlimen atau rakyat memutuskan kerajaan baharu.

Isu Utama Pengangguran Belia Dan Hak Pekerja

Adakah Muhyiddin masih ingat tinjauan Merdeka Center pada Mei 2018, betul-betul sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, bahawa 44% daripada jumlah responden dan 53% responden Melayu berpendapat bahawa negara ini menuju ke arah yang betul di bawah bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak? Ini adalah sama dengan 41% jumlah responden sekarang dan 54% responden Melayu yang berpendapat bahawa negara ini menuju ke arah yang betul di bawah Muhyiddin. Kita semua tahu apa yang berlaku pada pilihan raya 2018.

Dapatan lain yang boleh dipertikaikan adalah bahawa golongan anak muda lebih cenderung untuk berasa optimis terhadap hala tuju negara dan mempunyai pandangan yang paling baik terhadap kerajaan dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berbanding dengan kumpulan umur yang lain. Ini mengejutkan apabila golongan anak muda terjejas teruk dengan peningkatan kadar pengangguran belia setinggi 13.9% dan kekurangan peluang ekonomi.

Golongan anak muda juga tidak senang dengan Menteri PN yang menasihatkan mereka untuk menerima pekerjaan dengan gaji di bawah gaji minimum bulanan RM1,200 kerana menerima pekerjaan RM1,000 sebulan lebih baik daripada tidak mempunyai pekerjaan. Menteri sepatutnya menegakkan undang-undang dengan mengambil tindakan terhadap gaji di bawah gaji bulanan minimum yang menyalahi undang-undang, dan bukannya mengkhianati hak pekerja.

Pengabaian golongan anak muda seperti ini mungkin merupakan sebab mengapa Kerajaan PN enggan menunaikan janjinya untuk membenarkan umur pengundi diturunkan dari 21 kepada 18 (Undi18) menjelang Julai 2021. Dengan membenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya menangguhkan Undi18 sehingga September 2022, selepas pilihan raya umum yang dijangkakan awal tahun depan, PN merampas hak lebih daripada 1.2 juta pengundi muda. Adalah tidak masuk akal jika golongan anak muda adalah penyokong PN yang paling optimis.

Kegagalan Ekonomi Dan COVID-19

Tidak ada keraguan bahawa tinjauan Merdeka Center adalah benar bahawa walaupun obsesi PN sekarang dengan membeli sokongan politik untuk terus berkuasa, ekonomi tetap menjadi keutamaan rakyat Malaysia. Kerajaan gagal mengeluarkan ekonomi dengan cepat dari kemelesetan ekonomi walaupun telah membelanjakan RM622 bilion melalui pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021 dan gagal mencegah lonjakan terbaru COVID-19 berikutan ketidakstabilan, amalan dua darjat dan pusingan-U dasar kerajaan.

Sekarang Muhyiddin sudah mengakui bahawa Kerajaan PN kekurangan dana. Adakah itu sebabnya beliau menggunakan kuasa darurat untuk “menjarah”, jika perlu, KWAN berjumlah RM17.4 bilion?

KWAN ditubuhkan sebagai tabung strategik simpanan tunai dan pelaburan untuk masa depan anak-anak kita. Menggunakan keperluan untuk memerangi COVID-19 sebagai dalih untuk “menjarah” KWAN tidak dapat diterima, ketika Belanjawan 2021 memperuntukkan RM17 bilion untuk dana COVID-19 dan kerajaan masih dapat meminjam dari pasaran hutang domestik bersaiz RM1.3 trilion.

Hanya apabila kerajaan tidak dapat meminjam atau penarafan kredit antarabangsa begitu rendah sehingga hanya Ah Long yang bersedia memberi pinjaman, barulah KWAN boleh digunakan menyelamatkan negara. Menggunakan tabung RM17.4 bilion KWAN sekarang (setakat akhir 2018) dan bukannya meminjam adalah pengurusan kewangan negara yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak cekap. Bolehkah Muhyiddin menjelaskan berapa jumlah dari tabung RM17.4 bilion KWAN yang beliau ingin gunakan?

Dasar kabotaj yang salah oleh Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong telah menyebabkan Facebook dan Google mengenepikan Malaysia dan memilih Indonesia untuk meletakkan kabel bawah laut, yang memberikan risiko terhadap pelaburan teknologi tinggi bernilai RM12-15 bilion dan masa depan digital anak-anak kita. Aliran masuk pelaburan asing ke Malaysia turun 68% kepada USD 2.5 bilion tahun lalu, peratusan penurunan terburuk dalam ASEAN dan penarafan kredit antarabangsa Malaysia diturunkan oleh Fitch Ratings ke tahap yang sama dengan Indonesia dan Filipina.

Tidak ada yang dilakukan untuk menyelamatkan industri pelancongan yang lumpuh yang kerugian RM100 bilion tahun lalu. Adakah Kerajaan PN tidak prihatin terhadap kelangsungan industri pelancongan, di mana Nilai Tambah Kasar Industri Pelancongan (GVATI) menyumbang hingga 15.9% kepada KDNK negara kita pada tahun 2019? Bilakah Muhyiddin akan menunaikan janjinya untuk menaikkan bantuan bulanan kebajikan kepada RM1,000, termasuk kepada penganggur?

Tidak hairanlah lebih ramai rakyat Malaysia (46% hingga 41%) merasakan bahawa negara ini menuju ke arah yang salah. Kerajaan PN telah memilih untuk menutup kegagalan ekonomi dan kesihatan awam mereka dengan bergantung pada isu kaum dan agama untuk mengalihkan perhatian dan memecah belahkan rakyat. Saranan PAS untuk gerimander kawasan pilihan raya dengan mengikut bias kaum dan agama adalah tidak berperlembagaan, dan tidak berbeza dengan mewujudkan pilihan raya berdasarkan apartheid kaum dan agama, yang akan mengurangkan dan melucutkan hak demokrasi orang bukan Melayu dan bukan Islam.

PN mesti menjadi Kerajaan Malaysia yang menjaga kepentingan semua rakyat Malaysia dengan menghentikan retorik perkauman dan ekstremis agama yang berbahaya. Sebagai langkah pertama, semua peruntukan untuk orang bukan Islam dan bukan Melayu, termasuk pendidikan vernakular, yang dikurangkan di bawah Belanjawan 2021 harus dikembalikan mengikut Belanjawan 2020.

Rakyat Malaysia Bekerjasama Demi Perlembagaan Persekutuan

Saya ingin memuji DAP Wilayah Persekutuan kerana menjadi simbol perpaduan parti di bawah pimpinan Pengerusi negeri anda dan Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai. Tan Kok Wai telah memastikan bahawa pemilihan untuk jawatan kekal mesra dan tidak mempersoalkan asas dan prinsip parti ini ditubuhkan.

Saya ingin mengulangi bahawa DAP adalah untuk semua rakyat Malaysia dan tidak akan menjadi parti chauvinis Melayu, Cina atau India. DAP akan selalu menjadi Rakyat Malaysia Dahulu, tidak seperti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang secara tidak sengaja menyatakan bahawa beliau adalah Melayu Dahulu, Rakyat Malaysia Kedua. DAP tidak akan pernah berputus asa dengan cita-cita kita untuk membangun bangsa yang terbentuk atas landasan persaudaraan kaum, keharmonian agama, peluang yang sama, keadilan sosio-ekonomi, demokrasi berparlimen dan kemakmuran ekonomi untuk semua.

Itulah sebabnya mengapa tidak satu pun dari 42 Ahli Parlimen DAP kita membelot dan mengkhianati mandat rakyat yang diberikan dalam pilihan raya 2018. Saya ingin memberi kepastian bahawa kepemimpinan CEC bersedia berjuang untuk menolak pemimpin yang ingin menyimpang dari kerangka pelbagai kaum dan pelbagai agama kita. DAP akan kekal sebagai parti Malaysia, dengan wakil rakyat kita dari semua etnik termasuk Sabah dan Sarawak.

Hak rakyat Malaysia, termasuk minoriti, dilindungi sebaiknya ketika kita bekerjasama di bawah perisai perlindungan Perlembagaan Persekutuan. Melindungi hak asasi kita seharusnya bukan dari perspektif etnik tetapi dari prinsip demokrasi, keadilan sosio-ekonomi dan kedaulatan undang-undang. Berjuang semata-mata dari perspektif etnik akan memecahbelahkan kita sebagai rakyat dan negara, dan membiarkan kita terjebak dalam perangkap perkauman dan ekstremis agama dan merugikan kita semua. Rasis dan ektremis agama malah melabelkan Ahli Parlimen kita sebagai mubaligh Cina kerana menolong orang Melayu atau Islam yang miskin.

DAP tidak akan menjadi rasis dan ekstremis agama seperti PAS atau tunduk kepada PAS seperti MCA, MIC dan GPS. Sebagai contoh, daripada MIC menyalahkan PAS kerana merobohkan kuil Hindu, MIC menyalahkan masyarakat India kerana mengaibkan Dewa mereka. MCA dan MIC berdiam diri apabila peruntukan untuk sekolah vernakular dikurangkan walaupun Belanjawan dinaikkan menjadi yang tertinggi dalam sejarah.

Pada masa ketika Kerajaan PN berpecah berebut kuasa, DAP dan PH harus bersatu untuk memberi rakyat satu pilihan yang jelas bahawa kita memperjuangkan rakyat. Rakyat Malaysia, terutama yang membayar cukai, hanya mahu kerajaan berlaku adil. Rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang menghormati kepelbagaian, inklusif untuk semua dan berusaha untuk menyatukan setiap warganegara Malaysia untuk memerangi COVID-19 bersama.

Tidak ada gunanya memenangi pemilihan parti hanya untuk kalah dalam pilihan raya umum. Lebih mustahak untuk mengalahkan pengkhianat mandat rakyat dan mengembalikan kerajaan rakyat yang berkhidmat untuk rakyat dan mendengar suara rakyat. Biarkan sejarah menilai pengkhianat-pengkhianat ini.

Marilah kita bina “Khemah Besar” pembangkang yang menyatukan semua parti pembangkang untuk mengalahkan Kerajaan PN yang gagal. Marilah kita mengembalikan kuasa kepada rakyat dengan menggantikan Kerajaan PN yang gagal ini di Putrajaya dan mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan di Wilayah Persekutuan.