Berita, Rencana

Segera benarkan PAC bersidang, pantau perbelanjaan semasa darurat

Kenyataan Media Wong Kah Woh, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Parlimen (PAC) merangkap Ahli Parlimen Ipoh Timor pada 26.04.2021 di Kuala Lumpur:-

YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Undang-Undang dan Parlimen dalam kenyataan media beliau hari ini telah menyatakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara sebagai salah satu entiti yang mampu memantau pentadbiran Kerajaan ketika sepanjang Darurat.

YB Takiyuddin Hassan telah tersilap, atau beliau tidak mengambil tahu kesan pengistiharan Darurat terhadap Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan juga Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) yang lain. PAC dan PSC telah diarahkan dan dimaklumkan oleh Speaker Dewan supaya tidak ada prosiding atau mesyuarat boleh dijalankan dalam tempoh persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara digantung. Ini sekaligus telah mengakibatkan prosiding-prosiding dan mesyuarat-mesyuarat PAC terpaksa dihentikan.

PAC dan PSC Kesihatan, Sains dan Innovasi yang dipengerusikan oleh YB Kelvin Yii telah pada 18.03.2021 menyeru secara terbuka supaya mesyuarat-mesyuarat PAC dan PSC dikembalikan. Namun, seruan tersebut telah diabaikan oleh Kerajaan dan Speaker Dewan.

Saya hendak bertanya samaada YB Takiyuddin Hassan benar-benar tidak mengetahui perkara ini atau cuba untuk mengelirukan rakyat di luar sana? PAC tidak akan membenarkan namanya digunakan oleh YB Takiyuddin Hassan semata-mata untuk memaparkan suatu persepsi Kerajaan “has nothing to hide”.

Kenyataan YB Takiyuddin Hassan jelas mengiktiraf keperluan dan kepentingan suatu sistem pemantauan pentadbiran dalam segala urusan Kerajaan. Namun, bagaimana kerja-kerja pemantauan dapat dijalankan apabila PAC dan PSC telah dilumpuhkan (paralysed) dalam keadaan yang sedia ada?

Bertentangan dengan Kenyataan Media YB Takiyuddin Hassan, pada hakikatnya, Kerajaan nampak bersikap lebih selesa apabila perbelanjaannya dapat dijalankan tanpa sebarang pemantauan.

Sejak pelaksanaan Darurat, terdapat perkembangan yang amat membimbangkan dan membabitkan isu pemantauan:-

(i)             Warta Kerajaan bertarikh 31.03.2021 yang membenarkan perbelanjaan yang dipertanggungkan dan pengeluaran dari Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan boleh dibuat dengan kelulusan Kerajaan yang sedia ada;

(ii)           Pindaan terhadap Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang membolehkan penggunaan KWAN bagi tujuan pemerolehan vaksin dan perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin yang terbabit.

Harus diingatkan apabila perolehan dan harga vaksin menjadi satu isu sebelum pengistiharan Darurat, PAC telah mengadakan prosiding pada 05.01.2021 dan memberikan ulasan PAC yang secara langsung memberikan keyakinan terhadap Rakyat dalam Program Vaksinasi. Namun, PAC tidak dapat menjalankan fungsi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sekarang. 

Saya sekali lagi menyeru Speaker Dewan Rakyat untuk membenarkan PAC bersidang dengan segera bagi membolehkan Jawatankuasa ini menjalankan fungsi untuk memantau pentadbiran dan kewangan Kerajaan terutama sekali berhubung perbelanjaan Kerajaan sepanjang tempoh Darurat.

Pada masa sama, Kerajaan juga perlu membenarkan Parlimen bersidang dengan segera bagi membolehkan PAC membentangkan laporan demi kepentingan Rakyat dan Negara. – Roketkini.com