Rencana

Perjuangan PH sentiasa berpaksi rakyat

Oleh B. Suffian

Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan politik yang mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sentiasa komited memperjuangkan untung nasib rakyat serta kemajuan negara.

Sebab itu, gabungan itu tidak pernah putus memperjuangkan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum di samping terus proaktif bersuara demi kepentingan negara dan generasi akan datang.

Pada PRU akan datang, PH akan terus berjuang untuk masa depan Malaysia dengan dasar ekonomi yang menguntungkan rakyat dan bukan kroni, demikian kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini.

Selain itu, PH katanya, akan turut berjuang ke arah tadbir urus baik yang mengoptimumkan penyampaian perkhidmatan serta nilai-nilai inklusif, kepelbagaian dan keadilan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang mendorong perpaduan dan integrasi nasional dengan Sabah dan Sarawak.

Fokus PH tambahnya, adalah untuk mencipta dan menyelamatkan pekerjaan dan mencegah penutupan perniagaan semasa kemelesetan ekonomi ini. 

Semasa memegang kerajaan dalam 22 bulan, menteri DAP berjuang bersungguh-sungguh untuk pengembangan insentif bagi meningkatkan produktiviti, mewujudkan pekerjaan dan peralihan ke ekonomi digital.

Program MalaysiaKerja adalah salah satu kejayaan ini dengan memberikan insentif upah bulanan RM500 kepada pekerja yang menganggur dan insentif pengambilan pekerja bulanan RM300 untuk mendorong majikan mengambil rakyat Malaysia tempatan untuk berkerja, bagi mewujudkan 350,000 peluang pekerjaan. 

Pengecualian kabotaj untuk menambah daya tarik Malaysia bagi pelaburan teknologi digital adalah satu lagi contoh lain. 

Bagi separuh berjaya adalah pengurangan tol sebanyak 18 peratus di Lebuhraya Utara-Selatan yang dilaksanakan sebagai langkah pertama dari siri pengurangan progresif hingga akhirnya penghapusan tol.

Kini sebagai pembangkang, DAP terus lantang bersuara terutama dalam mendesak Kerajaan PN menunaikan janji-janjinya demi kesejahteraan rakyat.

Guan Eng sentiasa aktif memanjangkan desakan-desakannya kepada kerajaan dalam isu-isu melibatkan bantuan bulanan kebajikan, pemberian komputer riba, pelanjutan moratorium dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sehingga ke hari ini, pemimpin-pemimpin PH secara amnya tidak pernah jemu ke hadapan membawa isu-isu kepentingan rakyat ke perhatian pihak sepatutnya. Komitmen itu hadir secara organik dan berterusan tanpa mengira waktu — ketika menjadi kerajaan mahupun pembangkang.

Di sebalik pelbagai usaha pihak lawan memburuk-burukkan PH, rakyat sebaliknya sentiasa tahu dan sedar akan peranan pakatan tersebut sebagai pejuang nasib rakyat serta mekanisme semak dan imbang kerajaan.