Uncategorized

Singapura, Malaysia perlu bincangkan pengiktiraftan sijil vaksinasi timbal balik

Oleh Liew Chin Tong

(Pengerusi DAP Johor)

Menurut laporan, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia kerajaan negeri Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad telah menyatakan bahawa kerajaan Malaysia dan Singapura sedang dalam proses perbincangan mengenai pengurusan khas bagi membenarkan pekerja Malaysia di Singapura yang telah menerima vaksin di sana diberikan pas laluan hijau.

Cadangan ini merupakan satu perkembangan yang baik bagi membolehkan rakyat Malaysia pulang ke rumah berjumpa dengan keluarga setelah hampir setahun berjauhan. Namun, masih tidak jelas sama ada pemvaksinan yang dilaksanakan di Malaysia akan diiktiraf untuk tujuan pas laluan hijau tersebut.

Adakah mereka yang telah menerima suntikan vaksin di Malaysia dibenarkan untuk merentasi sempadan ke Singapura untuk bekerja? Apakah perbezaan aturan ‘laluan hijau’ berbanding aluan Hijau Timbal Balik (RGL) yang dilaksanakan sebelum ini?

RGL telah diperkenalkan pada 17 Ogos 2020 untuk memudahkan urusan penting perniagaan dan lawatan rasmi. Ia membenarkan pemohon yang layak daripada sesuatu kategori yang ditetapkan untuk dikecualikan daripada kuarantin tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Pengecualian ini termasuklah menunjukkan bukti keputusan negatif saringan COVID-19.

Malangnya, pada 1 Februari tahun ini kerajaan Singapura telah mengumumkan penggantungan RGL selama tiga bulan selepas Malaysia mencatatkan kes COVID-19 tertinggi dengan 5,725 kes pada 29 Januari yang lalu.

Tambak Malaysia-Singapura adalah antara sempadan yang paling sibuk di dunia dengan hampir 400,000 orang merentasinya setiap hari.

Sekatan sempadan telah memberi kesan kepada ekonomi Johor, perniagaan tempatan dan ramai pekerja yang perlu merentasi sempadan untuk mencari rezeki di Singapura.

Usaha untuk memastikan pergerakan rentas sempadan dapat dijalankan dengan selamat kian terjejas selepas Prosedur Operasi Standard (SOP) yang kerap berubah dan penguatkuasaan yang tidak konsisten oleh kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin dijangka akan membuat lawatan rasmi ke Singapura pada 3 hingga 4 Mei ini. Beliau dijangka akan membincangkan isu berkaitan dengan pembukaan semula pusat kawalan sempadan bersama rakan sejawatnya di Singapura, Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Rakyat Malaysia, khususnya warga Johor meletakkan harapan yang tinggi untuk perancangan pembukaan semula sempadan yang jelas.

Saya berharap kedua-dua Perdana Menteri akan membincangkan pengiktirafan sijil vaksinasi timbal balik. Bagi meningkatkan kadar vaksinasi (salah satu syarat sebelum sempadan dibuka semula), kita perlu mempunyai sasaran tarikh dan tahap vaksinasi yang jelas untuk dicapai.