Berita

Kematian A. Ganapathy: Takiyuddin digesa bertindak

Oleh B. Suffian

DAP menggesa Menteri Undang-undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk mengarahkan inkues dan bertindak serta merta terhadap mereka yang bertanggungjawab ke atas kematian dalam tahanan, A. Ganapathy.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ini berikutan pendedahan peguamnya bahawa laporan bedah siasat menunjukkan Ganapathy telah meninggal dunia akibat kecederaan teruk di kaki dan bahunya.

“Tidak sukar untuk mengenalpasti mereka yang terlibat dalam kecederaan yang dialami oleh A Ganapathy, yang mengakibatkan kematiannya ketika dia berada dalam tahanan polis.

“DAP mengecam kematian A Ganapathy, dan mendesak PN serta Takiyuddin untuk mengambil pendekatan proaktif untuk menghukum mereka yang bertanggungjawab ke atas kematian A Ganapathy,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, Takiyuddin tidak boleh membisu, sebagaimana dia sedang membisu tentang kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim, apabila beliaulah antara pemimpin PAS ketika menjadi pembangkang yang menggunakan retorik berapi-api mengkritik kegagalan PH mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab.

Media sebelum ini melaporkan, Ganapathy, 40, dikatakan ditahan polis selama 12 hari dari 24 Feb hingga 8 Mac lalu, sebelum dimasukkan ke hospital.

Dia meninggal dunia 18 April lalu, selepas lebih sebulan dirawat di unit rawatan rapi Hospital Selayang. – Roketkini.com