Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kompaun tinggi tak berkesan kawal Covid-19 – Syahredzan

Oleh Aziera NH

Kerajaan digesa menarik balik peningkatan jumlah kompaun yang begitu tinggi bagi pihak yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan berkata, ini kerana ia tidak membantu usaha kerajaan untuk mengekang penularan wabak tersebut.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan kesedaran rakyat dan memastikan tiada amalan dua darjat dalam pelaksanaan undang-undang jika merasakan bahawa terdapat keperluan untuk memastikan pematuhan SOP.

“Sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob telah mengatakan bahawa peningkatan kompaun ini untuk ‘menjaga rakyat’ dan bukannya menganiaya rakyat.

“Akan tetapi, jelas daripada data dan angka sejak 49 hari yang lepas bahawa peningkatan jumlah kompaun yang tinggi langsung tidak berkesan dalam mengawal penyebaran virus tersebut malahan bersifat menekan rakyat,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Syahredzan berkata, semasa Ordinan Darurat dimasyurkan pada 11 Mac 2021, terdapat 1,647 kes baru dengan 319,363 kes kumulatif dan sembilan kematian dengan 1,200 kematian kumulatif direkodkan.

Namun katanya, semalam terdapat sebanyak 3,332 kes baru dengan jumlah keseluruhan 404,925, manakala 15 kematian dengan jumlah kumulatif 1,492 kematian direkodkan.

“Ini bermakna terdapat peningkatan sebanyak 85,561 kes positif kumulatif dan 292 kematian yang bertambah sejak Ordinan Darurat ini berkuat kuasa,” katanya. – Roketkini.com