Uncategorized

Lagi bukti kegagalan PN dalam perang lawan Covid-19 – Kit Siang

oleh Ghafar NS

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menyenaraikan empat sebab kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin telah gagal dalam perang melawan Covid-19:

  1. Kadar peningkatan harian kes Covid-19 telah mencecah 3,000 kes semula sejak 28 April 2021 – kali terakhir negara mencapai 3,000 kes adalah pada 24 Februari 2021.
  2. Jumlah kes terkumpul di Malaysia telah melepasi 400,000 kes — dengan 401,593 kes.
  3. Kedudukan negara terus merosot – Malaysia berada di tempat ke-43 di dunia dari jumlah kes terkumpul, mengatasi kedudukan Bulgaria. China, yang merupakan negara dengan situasi terburuk pada awal tahun lalu, kini berada di tempat ke-95 dengan hanya 90,622 kes terkumpul!
  4. Indeks “kes per sejuta rakyat” kita adalah 12,279, kadar tertinggi di Asia Timur, ASEAN, dan kawasan serantau Pasifik. Malah, indeks “kes per sejuta rakyat” kita lebih hampir dengan India!

Menurut Kit Siang lagi, prestasi buruk negara dalam melawan Covid-19 bukanlah satu-satunya bukti atau tanda sifat kakistokrasi kerajaan PN yang gagal ini.

Empat contoh lain kegagalan PN yang disenaraikan Kit Siang adalah:

  1. Gangguan pihak Polis terhadap kartunis Zullkiflee Anwar Haque (Zunar), kerana satu kartun yang mengkritik keputusan kerajaan negeri Kedah membatalkan cuti peristiwa Thaipusam yang telah diterbitkan di Facebook pada 23 Januari sebelum ini.
  2. Kontroversi berterusan mengenai Ordinan Darurat yang mengenakan denda zalim sebanyak RM10,000 kepada individu dan RM50,000 kepada syarikat atas pelanggaran SOP Covid-19, terutama denda zalim dan tidak masuk akal kepada peniaga-peniaga kecil.
  3. Penjarahan RM5 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk membeli vaksin Covid-19. 
  4. Guru membuat komen lucah di dalam kelas.

“Penggantungan Parlimen di bawah pelaksanaan darurat ini adalah perkara yang sangat tidak masuk akal, memandangkan prinsip pemisahan kuasa adalah salah satu ciri utama Perlembagaan Malaysia,” tegas Kit Siang.

Veteran DAP itu juga menggesa Muhyiddin agar jangan berlengah lagi dan beliau perlulah menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang supaya negara kita boleh melihat prestasi yang lebih baik dalam perang melawan wabak Covid-19. – Roketkini.com