Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Segera siasat tuduhan 10 tahanan didera di Penjara Jelebu

Oleh Aziera NH

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menyeru supaya satu siasatan terbuka mengenai tuduhan mengejutkan yang dibuat oleh keluarga 10 tahanan penjara yang mengaku dianiaya ketika dikuarantin di Penjara Jelebu, Negeri Sembilan.

Menurut Kit Siang, antara tuduhan yang dikatakan dilakukan terhadap mereka termasuklah disembur dengan serbuk lada di alat kelamin dan dubur menyebabkan mereka tidak dapat membuang air kecil dan air besar.

“Pada sidang media di Cheras semalam, beberapa ahli keluarga menangis ketika memberitahu penderitaan saudara mereka.

“Salah seorang dari mereka, R Lavaniyaa, mengatakan suaminya B Kalaiarasan berfikir untuk membunuh diri,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Tambah Kit Siang, mereka juga mendakwa dipukul oleh pegawai penjara menggunakan paip PVC sementara mereka masih digari sebelum dipukul dengan menggunakan tongkat, paip, kerusi, kepingan kayu dan benda lain selama satu jam.

“Sangat mengejutkan dan tidak boleh diterima bahawa tahanan diperlakukan lebih buruk daripada haiwan, sama sekali menafikan hak asasi mereka?” soalnya. – Roketkini.com