Berita

9 Mei 2018: Hari kemenangan rakyat

Oleh Roketkini

Tarikh keramat 9 Mei 2018 akan sentiasa diingati rakyat negara ini sebagai satu tarikh bersejarah kepada negara ini.

Tarikh tersebut adalah tarikh di mana majoriti rakyat telah berjaya mengangkat gabungan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan baharu Malaysia sekali gus menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama 60 tahun.

Ia menandakan bermulanya era Malaysia Baharu.

Kemenangan PH itu sememangnya membawa kegembiraan kepada para penyokong yang telah menunaikan tanggungjawab masing-masing di pusat-pusat mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ramai juga daripada mereka telah terbabit dalam perhimpunan-perhimpunan pra pilihan raya. Lautan manusia di program-program anjuran PH sebelum PRU-14 telah mencerminkan betapa kuatnya sokongan rakyat kepada gabungan tersebut.

Pastinya, setiap daripada rakyat Malaysia mempunyai kisah mereka tersendiri pada tarikh keramat tersebut.

Sebab itu, ramai yang kecewa apabila Kerajaan PH jatuh selepas mentadbir selama 22 bulan ekoran pengkhianatan segelintir pemimpinnya.

Walau bagaimanapun, perjuangan PH dalam mengangkat keadilan, kebajikan dan integriti tetap diteruskan. PH sedar bahawa rakyat telah memberikan mandat kepada mereka pada PRU-14.

Rakyat sendiri boleh melihat betapa serius, tekun dan komitednya PH dalam memainkan peranannya sebagai pejuang rakyat dan penggerak mekanisme semak dan imbang kerajaan.

Justeru, para penyokong jangan berputus asa. Kita perlu optimis bahawa perjuangan ini belum lagi selesai dan ia perlu diteruskan. – Roketkini.com