Berita

Segerakan vaksinisasi Fasa 2 program imunisasi

Oleh B. Suffian

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) diseru mempertimbangkan dan menyegerakan penyertaan Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berdasarkan pendaftaran yang telah dilakukan.

Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Backbenchers) DAP Pulau Pinang berkata, dengan tindakan yang pantas dan kadar vaksinisasi yang dipertingkatkan, itu akan membantu mengawal penularan wabak Covid-19 di Pulau Pinang dan seluruh negara.

“Sebagai kesimpulan, rakyat Malaysia kini berada di dalam keadaan keletihan pandemik (pandemic fatigue) dengan cara pengendalian dan pengurusan Kerajaan Persekutuan bagi menangani wabak Covid-19.

“Ini ditambahkan pula dengan sikap dan sistem ‘antara dua darjat’ dari segi penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Statistik

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, mengikut statistik JKJAV setakat 3 Mei 2021 sebanyak 914,663 individu telah divaksinasi selaras dengan pelaksanaan PICK.

Ujarnya, Pulau Pinang telah mencatatkan sebanyak 63,101 individu yang telah dibekalkan vaksin Covid-19 iaitu pada kadar 4.56 peratus dari sasaran jumlah populasi dan jumlah itu hanyalah 9.57 peratus daripada jumlah 658,707 individu yang telah berdaftar bagi PICK di Negeri Pulau Pinang.

“Namun demikian, adalah begitu kecewa di mana hanya lima daripada 10 pusat pemberian vaksin (PPV) di Pulau Pinang bagi Fasa Dua PICK dibuka sahaja.

“Ini telah terpesong daripada perancangan awal di mana sasaran seramai 7,500 individu sepatutnya divaksin setiap hari namun kini dengan hanya lima PPV, kadar sebanyak 2,000 sahaja mampu dicapai setiap hari,” katanya.

Kata kenyataan itu, ini ditambahkan lagi dengan beberapa kes yang diterima daripada orang awam yang mana PPV yang ditetapkan untuk mereka adalah sangat jauh dari tempat asal mereka.

“Dan terdapat mereka yang terpaksa membatalkan temujanji vaksinasi seakibat daripada kesusahan untuk sampai ke PPV yang ditetapkan,” katanya.

PH jalankan program pendaftaran

Meskipun Pakatan Harapan (PH) merupakan pembangkang di peringkat Persekutuan, tegasnya, namun gabungan itu tetap menjalankan program-program pendaftaran di komuniti masing-masing untuk membantu rakyat di Pulau Pinang menyertai PICK.

Menurutnya, ini dapat dilihat dengan kadar pendaftaran yang tinggi di Pulau Pinang pada 47.57 peratus namun usaha itu tidak akan menghasilkan pencapaian sekiranya kadar immunisasi tidak dapat ditingkatkan.

“Apakah isu-isu sebegini akan menjadi penghalang kepada pencapaian sasaran 80 peratus immunasi pada bulan Disember tahun ini? Apakah pelan kontingensi Kerajaan Persekutuan sekiranya kadar pemberian vaksin ini tidak dapat dipertingkatkan lagi?” soalnya.

Bangkitkan di Parlimen dan DUN

Tambahnya, pelaksanaan proklamasi darurat yang sepatutnya bertindak untuk mengatasi wabak Covid-19 bukan sahaja telah menyaksikan peningkatan kes secara mendadak.

Malah katanya, ia turut membantutkan sistem demokrasi negara di mana sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dapat dijalankan untuk membincang dan mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya bagi menangani pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, tambahnya, ahli-ahli dewan undangan negeri itu menyeru dan menggesa supaya Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Perikatan Nasional menjawab kepada persoalan yang dibangkitkan tersebut dengan tindakan susulan segera.

“Sekiranya persoalan yang dibangkitkan tersebut gagal dijawab oleh Kerajaan Persekutuan dengan menyegerakan langkah yang proaktif bagi mengatasi permasalahan yang dibangkitkan, sistem demokrasi yang wujud di negara ini perlu dengan segeranya dikembalikan.

“Ini agar persoalan dan permasalahan ini dapat dibangkitkan dan diselesaikan di sidang Parlimen atau DUN,” tegasnya.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Lim Guan Eng (Adun Air Putih), Teh Lai Heng (Adun KOMTAR), Satees A/L Muniandy
(Adun Bagan Dalam). Heng Lee Lee (Adun Berapit), H’ng Mooi Lye (Adun Jawi), Chris Lee Chun Kit (Adun Pulau Tikus), Daniel Gooi (Adun Pengkalan Kota), Lim Siew Khim (Adun Sungai Pinang), Ong Ah Teong (Adun Batu Lancang), Syerleena Bt. Abdul Rashid (Adun Seri Delima) dan Joseph Ng Soon Siang (Adun Air Itam). – Roketkini.com

Baca kenyataan penuh di sini: BACA