Berita

Wakil rakyat DAP buka kedai baju raya percuma

Oleh B. Suffian

Sambutan Hari Raya Aidilfitri mungkin tidak akan lengkap tanpa memakai baju raya.

Justeru, menjelang musim perayaan itu, ahli-ahli Parlimen DAP telah mengambil inisiatif untuk memberikan rakyat baju raya secara percuma.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching antaranya, menjalankan program pemberian baju raya percuma kepada penduduk kawasannya.

Baju-baju itu merangkumi pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Walaupun pakaian diberikan itu terpakai, namun kesemuanya masih boleh digunakan lagi.

“Mudah-mudahan mereka yang kurang berkemampuan dapat beraya dengan pakaian yang cantik dan merasa nikmat seperti mana kita semua,” kata hantaran di akaun Facebooknya.

Program ‘Kedai Baju Raya’ itu bermula 10 pagi hingga 4 petang di 58 Jalan Tropika 1, Taman Tropika Kulai, Johor.

Dalam pada itu, inisiatif sama turut digerakkan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi untuk warga kawasan Parlimennya.

Program ‘Kedai Muhibah Raya’ itu beroperasi sehingga 12 Mei depan yang mana, orang ramai boleh mengambil baju yang mereka inginkan secara percuma.

Kedai tersebut beroperasi di No. 20, Tingkat Bawah, Jalan 1/13, Taman Melanti (Taman Sri Kluang), berdekatan Pusat Hemodialisis Yayasan Rotary Kluang.

Sementara itu, ‘Program Preloved Boutique Kepong’ telah digerakkan oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng bersama rakan-rakan parti Pakatan Harapan (PH) di Kepong.

Program penjualan pakaian terpakai dengan harga RM1 itu diterima baik oleh masyarakat setempat.

“Memandangkan ramai yang terkesan dek kerana pandemik Covid-19, pihak kami cuba menganjurkan aktiviti-aktiviti bagi meringankan beban orang ramai.

“Ini lebih-lebih lagi apabila sudah mendekati musim perayaaan,” kata Lip Eng. – Roketkini.com