Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Hannah Yeoh kecewa Menteri PN gagal tangani isu berkait pelajar perempuan

Oleh Ghafar NS

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh meluahkan kekecewaannya atas kegagalan Menteri Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani isu pemeriksaan haid ke atas pelajar dan jenaka rogol yang heboh diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Ia bermula dengan satu tweet video pelajar tingkatan lima, Ain Husniza Saiful Nizam pada 24 April, lalu ia menjadi tidak terkawal dua minggu kemudian apabila ada yang membuat ‘jenaka’ dan ancaman rogol, malah penampilannya juga dijadikan isu sehingga timbul amaran penggantungan pelajar itu dari pihak sekolah.

“Berhentilah menyerang Ain kerana beliau hanya menyampaikan mesej hal yang sedang berlaku, malah Ain bukan satu-satunya yang bangun bersuara,” tegas Hannah dalam satu kenyataan hari ini.

Hannah berkata, pada tahun 2018, selepas menteri dan timbalan Menteri Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah, satu kes gangguan seksual dilaporkan melibatkan ketua jabatan di Hospital Sungai Buloh dan membabitkan beberapa orang doktor pelatih didedahkan.

Tanpa berlengah, Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pantas menubuhkan badan siasatan bebas yang turut dianggotai wakil Kementerian Pembangunan, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Saya melihat sendiri komitmen dan ketegasan Dr. Dzulkefly dalam menangani isu gangguan tersebut yang membawa kepada pemecatan si pelaku setelah tempoh penggantungan, dan 31 sidang mesyuarat diadakan.

“Saya juga menyaksikan sendiri bagaimana Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bangun dari kerusi lalu menenangkan doktor pelatih terbabit apabila mereka menangis dan berkongsi trauma mereka,” tambah Hannah lagi.

Dalam isu yang melanda negara baru-baru ini, PN perlu mengubah modus operandi biasa mereka dan mesti mengakui kewujudan isu ini.

Kata Hannah, menteri bukan dibayar untuk berdiam diri atau mengharapkan masalah itu hilang begitu sahaja.

Malah katanya, rakyat Malaysia mengharapkan menteri dan timbalan Menteri yang terlibat seperti Datuk Radzi Jidin, Datuk Seri Rina Harun serta Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff menjadi lebih berani dan proaktif berhadapan dengan isu tersebut. – Roketkini.com