Rencana, Uncategorized

‘Butik’ sedia baju raya percuma bawa keceriaan pada hari lebaran

Oleh Aziera NH

Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak akan lengkap tanpa memakai baju raya baru dan hidangan beraneka kuih raya.

Walaupun Malaysia tahun ini sekali lagi menyambut Aidilfitri dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), wakil-wakil rakyat DAP tidak pernah lupa untuk menjalankan tanggungjawab dengan melaksanakan pelbagai aktiviti.

Ini termasuklah mengedarkan sumbangan bagi membantu penduduk di kawasan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepayang, Nicole Tan antaranya, menjalankan program pemberian baju raya percuma kepada penduduk di kawasannya.

Sebuah kedai ala butik di Taman Bukit Kepayang, Seremban dijadikan tempat untuk mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan pakaian raya secara percuma menerusi Program Muhibah Raya.

“Hasrat kami adalah untuk memberi keceriaan kepada mereka bagi menyambut lebaran tidak lama lagi.

Nicole di Program Muhibah Raya bersama penduduk di kawasannya. GAMBAR: ADUN BUKIT KEPAYANG

“Program seperti ini dilihat dapat mengurangkan kos dan lebih 1,000 pakaian baharu dan terpakai yang disediakan di sini boleh mereka pilih serta bawa pulang,” jelasnya.

Tambah Nicole, orang ramai juga dialu-alukan untuk menyumbang pakaian atau barangan bekalan makanan di kedai berkenaan.

Program Muhibah Raya itu bermula 10 pagi hingga 4 petang di 65, Jalan MPK 3, Taman Bukit Kepayang, Seremban.

Dalam pada itu, inisiatif sama turut digerakkan ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung untuk penduduk di kawasannya.

Program Baju raya itu telah dijalankan di Pangsapuri Seri Ilham bertujuan untuk menyebarkan kasih sayang kepada golongan yang memerlukan.

Projek Baju Raya anjuran ADUN Johor Jaya. GAMBAR: ADUN JOHOR JAYA

“Kita telah mengumpulkan pelbagai barang ‘pre-loved’ termasuk pakaian, alat mainan, alat dapur, bag dan sebagainya untuk komuniti yang memerlukan.

“Berharap semua dapat memilih barang kegemaran masing-masing dan semangat kasih sayang akan diteruskan lagi,” katanya. – Roketkini.com