Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Menteri, timbalan menteri yang perlu letak jawatan bukan penjawat awam

Oleh Ghafar NS

Dunia sudah memasuki abad ke-21, namun cara pemikiran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah sangat jumud.

Demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Beliau merujuk pandangan Abdul Hadi baru-baru ini yang mendakwa penjawat awam yang tidak selesa dengan kerajaan bukan daripada parti yang disokong mereka, secara moralnya boleh meletakkan jawatan.

Bagi Sheikh Umar, bukan penjawat awam yang perlu letak jawatan sekarang ini.

Sebaliknya, tambah beliau, para menteri dan timbalan menteri yang dilihat tidak berfungsi yang perlu letak jawatan.

“Kita ada ramai menteri dan timbalan menteri yang tidak ketahuan hala peranan mereka. Sewaktu rakyat bergelut mencari rezeki dalam fasa pandemik ini, ada menteri yang tak tahu nak buat apa, akhirnya sibuk ke New Zealand untuk hal peribadi.

“Ada yang tak kisah dengan SOP sedangkan rakyat terikat ketat dengan pelbagai garis panduan, peraturan serta denda dan hukuman. Dan banyak lagi. Mereka inilah sebenarnya yang perlu letak jawatan,” tambah Ketua Pemuda DAPSY Johor itu lagi.

Malah, beliau berpendapat, jawatan-jawatan lain seperti duta khas bertaraf menteri contohnya, dilihat seperti ‘makan gaji buta’ dan merekalah yang perlu meletakkan jawatan.

“Mereka-mereka ini hanyalah menghabiskan wang rakyat, sedangkan kerjanya tidak kelihatan sejauh mana,” katanya. – Roketkini.com