Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

PKP 3.0: Muhyiddin perlu libatkan semua rakyat Malaysia – Guan Eng

Oleh Aziera NH

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mendengar dan melibatkan semua rakyat Malaysia jika beliau ingin memastikan kejayaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 melawan gelombang ketiga Covid-19.

Demikian tegas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, PKP 3.0 boleh menjadi PKP terakhir bagi Malaysia jika Kerajaan Perikatan Nasional yang diketuai Muhyiddin melakukan perkara-perakara ini:

1- Mengakui kegagalannya
Pada Mac lalu, kerajaan PN telah berjanji bahawa tidak akan ada PKP seluruh negara pada bulan Mac bersandarkan pada sains dan data. Namun PKP 3.0 diumumkan kurang daripada dua bulan selepas itu. Jadi bagaimana rakyat boleh mempercayai Muhyiddin untuk menjalankan tugasnya dengan cekap?

2- Kembalikan Parlimen
Bagi mengembalikan kepercayaan rakyat, Parlimen perlu dikembalikan dan dibuka semula, dan pemimpin pembangkang perlu diundang untuk menyertai Majlis Keselamatan Negara bagi membentuk satu kesatuan menentang Covid-19.

3- Henti pusingan U SOP Covid-19
Perintah pusingan U SOP ‘buka, tutup dan kemudian buka’ oleh Kerajaan PN dalam masa kurang dari 24 jam bagi tadika dan pusat jagaan harian, telah menimbulkan kekeliruan dan defisit kepercayaan di kalangan rakyat.

4- Tamatkan amalan dua darjat
Amalan dua darjat dalam penguatkuasaan di mana orang kenamaan (VIP) dan menteri terlepas tanpa hukuman atau dikenakan hukuman ringan berbanding dengan hukuman bagi rakyat biasa, telah memburukkan lagi defisit kepercayaan rakyat dan ia perlu dihentikan segera bagi mengembalikan kepercayaan rakyat.

5- Fokus selamatkan pekerjaan, perniagaan dan ekonomi
Bagi menyelamatkan dan mengeluarkan ekonomi dari kemelesetan ekonomi kita sekarang, fokus kewangan kerajaan harus beralih dari mengawal tahap hutang dan defisit fiskal negara, kepada meminjam lebih banyak wang demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan, dan mata pencarian ekonomi.

Mengulas lanjut, Guan Eng turut menyoal sama ada Muhyiddin akan menunaikan janjinya untuk melaniutkan moratorium automatik dan menaikkan jumlah bantuan kebajikan seperti yang pernah dijanjikannya sebelum ini. – Roketkini.com