Berita

Mana 150,000 ujian saringan yang dijanjikan?

Oleh B. Suffian

Di manakah 150,000 kapasiti ujian saringan yang disasarkan kerajaan, soal Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin. 

Mantan menteri itu berkata, banyak pihak termasuk wakil-wakil rakyat pembangkang telah menyarankan agar kerajaan meningkatkan kemampuan jumlah saringan Covid-19. 

Malah pada Januari, jelasnya, kerajaan sendiri berkata bahawa pihaknya mensasarkan untuk meningkatkan kapasiti ujian saringan RT- PCR negara dari sekitar 70,000 hingga 100,000 dengan matlamat untuk mencapai 150,000 kapasiti ujian saringan.

“Setelah empat bulan berlalu, angka-angka ujian kita masih dalam lingkungan 70,000 sehari, di mana angka 150,000 yang dijanjikan? 

“Virus Covid-19 tidak menanti sesiapa, empat bulan adalah tempoh yang lama dalam pertempuran pandemik global sekali-dalam-seabad ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Tambahan pula, tegasnya, kerajaan dilihat tidak mencuba untuk menjalankan inisiatif saringan berskala besar lain untuk mengenal pasti kes-kes positif dalam komuniti. 

Menurutnya, seruan banyak kumpulan agar Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) dimasukkan dalam proses saringan seluruh negara nampaknya tidak diendahkan. 

Walaupun RTK-Ag mungkin kurang tepat, tambahnya, tetapi ia memiliki kelebihan dari aspek kepantasan dan kapasiti memandangkan ia boleh didapati secara meluas dan tidak terhad kepada kapasiti makmal. 

Pastinya, kata Bee Yin, ujian itu mempunyai peranannya sebagai sebuah pendekatan sementara pada saat mendepani cabaran dalam mempertingkatkan kapasiti RT-PCR.

Ternyata, menangani krisis Covid-19 tidak mudah, namun jika selepas setahun, kerajaan tidak membuat perkara asas seperti ujian dan pengasingan dengan betul, apa harapan yang boleh rakyat Malaysia ada, soalnya lagi. 

“Berapa banyak lagi PKP yang boleh kita tempuhi dalam membebaskan negara dari krisis Covid-19? 

“Kerajaan betul betul hilang akal jika mereka terus melakukan perkara yang sama berulang kali, namun berharap hasil yang berbeza,” katanya. – Roketkini.com