Berita, Isu Semasa

Annuar Musa wajar contohi kerajaan negeri Selangor, lakukan ujian saringan percuma

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa digesa mengadakan program saringan komuniti bersasar secara percuma berikutan peningkatan mendadak kes positif baharu di Kuala Lumpur.

Program saringan ini juga akan dapat mengenal pasti mereka yang berkemungkinan menjadi ‘pembawa senyap’ (silent carriers) virus Covid-19, iaitu orang yang positif tetapi tidak mempunyai sebarang simptom serta berisiko menjangkiti individu lain. Lebih 300 kes positif baharu sehari dicatatkan di Kuala Lumpur selama tiga hari berturut-turut bermula 14 Mei hingga 16 Mei 2021.

Ini sepatutnya membuka mata Menteri supaya bertindak lebih agresif dan melaksanakan pendekatan baharu untuk mengurangkan jumlah kes.

Menteri Wilayah Persekutuan harus mengambil iktibar dan mencontohi Kerajaan Negeri Selangor yang berjaya mengesan hampir 80% individu berumur di antara 20 dan 40 tahun yang didapati positif tetapi tidak menunjukkan sebarang simptom menerusi program saringan pada 8 hingga 11 Mei yang lepas.

Kami, Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sedia membantu Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) untuk membuat hebahan mengenai program saringan komuniti bersasar ini kepada penduduk dalam kawasan Parlimen masing-masing supaya kita sama-sama dapat mengawal penularan wabak Covid-19 dan seterusnya mengurangkan jumlah kes.

Bagi memastikan kejayaan program ini, KWP perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan yang mempunyai bidang kuasa untuk membolehkan keupayaan dan fasiliti makmal hospital milik Kerajaan atau mana-mana makmal yang dikhaskan untuk melakukan ujian makmal dipertingkatkan segera.

Ini penting untuk mengenal pasti varian baharu secara lebih berkesan dan lebih cekap serta menghasilkan keputusan dengan lebih pantas.

Dengan peningkatan kes positif baharu dan jumlah kematian yang semakin tinggi setiap hari, beberapa faktor seperti jumlah kakitangan dan sukarelawan perubatan, penyediaan peralatan yang mencukupi, capaian internet serta lokasi yang sesuai perlu diambil kira oleh Kementerian Kesihatan sebelum program saringan komuniti bersasar ini dijalankan.

Tan Kok Wai
Ahli Parlimen Cheras

Fong Kui Lun
Ahli Parlimen Bukit Bintang

Teresa Kok
Ahli Parlimen Seputeh

Dr Tan Yee Kew
Ahli Parlimen Wangsa Maju

Fahmi Fadzil
Ahli Parlimen Lembah Pantai

Nik Nazmi Nik Ahmad
Ahli Parlimen Setiawangsa

P. Prabakaran
Ahli Parlimen Batu

Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Kepong

Hannah Yeoh
Ahli Parlimen Segambut