Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Mana ‘negara hebat’ impian Muhyiddin? – Kit Siang

Oleh Ghafar NS

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan sama ada cita-citanya ketika menjawat jawatan Menteri Pendidikan sembilan tahun lalu iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘negara hebat’, masih hidup atau beliau telah berputus asa.

Veteran DAP itu turut melontarkan persoalan mengapa Muhyiddin tidak menyentuh mengenai impian ‘negara hebatnya’ dalam perutusan Hari Guru baru-baru ini.

“Muhyiddin perlu sedar, ‘negara hebat’ hari ini adalah salah satu bukti kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pentadbiran beliau,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang turut menggariskan empat kegagalan Muhyiddin dalam membentuk ‘negara hebat’ untuk Malaysia:

1) Muhyiddin telah membayar RM20 juta kepada pihak asing untuk datang dengan idea ‘negara hebat’ dan merangka Rancangan Tindakan Pendidikan 2013 – 2025 pada September 2012.
Namun, hari ini negara kita terus ketinggalan dari aspek pembangunan modal insan.

2) Syarikat-syarikat antarabangsa tidak berminat untuk mengupah jurutera daripada universiti tempatan, sebaliknya memilih siswazah daripada Filipina, Vietnam, Thailand, dan juga Indonesia.

3) Malaysia terus terkebelakang dari segi daya saing di peringkat antarabangsa (tempat ke-22 pada tahun 2019 kepada tempat ke-27 pada tahun 2020).
Kedudukan kita pada tahun 2021 dijangkakan akan menjadi lebih buruk!

4) Kerajaan Indonesia menggunakan negara ini bersama dengan India sebagai contoh negara yang gagal menguruskan wabak Covid-19 dengan baik.

Mengakhiri kenyataan medianya, Kit Siang melontarkan persoalan: “Mampukah Malaysia mengubah hala tuju kakistokratik ini kepada yang lebih baik?” – Roketkini.com