Berita, Isu Semasa

DAP peduli: peka dan bantu rakyat tanpa mengira kaum atau agama

Oleh Ghafar NS

Wakil-wakil rakyat Parti Tindakan Demokratik (DAP) sentiasa peka dan tidak pernah mengabaikan penduduk di kawasan masing-masing, khususnya yang berhadapan dengan kesulitan dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 ini.

Bagi memberikan keceriaan Syawal kepada penduduk di kawasan Segambut, pada hari terakhir Ramadan lalu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh telah berkunjung ke tiga buah kampung dan mengedarkan pelitup muka serta sumbangan Aidilfitri kepada 63 buah keluarga.

Hannah Yeoh dalam satu hantaran di Facebook-nya memetik lirik lagu Bon Jovi sempena pandemik ini iaitu, “when you can’t do what you do, you do what you can…”

Beliau sentiasa mencari cara dan peluang untuk memberi yang terbaik buat penduduk di kawasan Segambut, antaranya dengan menghadiahkan ‘butter cookies’ kepada 64 buah keluarga guru di Kuarters Guru, Taman Tun Dr Ismail, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng bersama dengan pasukan DAP Kepong pula telah menganjurkan inisiatif menghantar bantuan makanan tengah hari kepada keluarga-keluarga yang dijangkiti Covid-19 dan dikuarantin.

Makanan yang disumbangkan akan digantung di pagar bagi mengelakkan sentuhan ataupun interaksi rapat.

Pada setiap minggu Lip Eng akan berusaha menyalurkan sumbangan makanan tengah hari dan bungkusan mi segera kepada keluarga-keluarga memerlukan di sekitar Parlimen Kepong.

Di Perak, Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming sekali lagi tahun ini telah mendermakan gajinya sebagai ahli Parlimen untuk membeli 200,000 keping pelitup muka untuk diedarkan kepada penduduk Parlimennya.

Menurutnya dalam satu hantaran di Facebook, setakat ini sebanyak 500,000 pelitup muka telah disumbangkannya kepada rakyat Malaysia.

Kor Ming juga terus menjalankan inisiatif ziarah kasih rakyat disamping menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan seperti menyalurkan 100 buah bungkus masakan segar baru-baru ini di Kampung Tekah, Aulong.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pula menawarkan khidmat nasihat guaman percuma (atas talian) kepada warga Klang yang berhadapan dengan kesulitan perundangan.

Inisiatif ini amat penting dan memberi ruang kepada penduduk di Parlimen Klang yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan nasihat perundangan tanpa sebarang bayaran dikenakan.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Bagan yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ada menyerahkan sumbangan kewangan RM500 kepada En Suresh yang cedera patah tulang kaki akibat kemalangan kenderaan.

Sumbangan ini diharapkan dapat membantu mengurangkan serba sedikit beban yang ditanggung En Suresh sekeluarga kerana kemalangan ini telah menjejaskan mata pencarian mereka.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto juga sentiasa peka dengan masalah-masalah yang dihadapi penduduk di kawasan Parlimennya, seperti membantu sebuah keluarga Cina dengan menyampaikan makanan kering, pelitup muka dan kerusi roda untuk kegunaan ibunya yang berumur lebih 70 tahun.

Beliau juga turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada sebuah keluarga Melayu yang baru kehilangan anak mereka, dan sumbangan tersebut dilaporkan digunakan untuk tahlil arwah.

Begitulah sebahagian kisah daripada sebahagian ahli-ahli Parlimen DAP yang aktif mengambil tahu kesusahan rakyat dan mencari inisiatif untuk membantu mereka walaupun tanpa bantuan daripada Kerajaan Persekutuan. – Roketkini.com