Berita

Covid-19: PN harus panggil sidang Parlimen segera

Oleh B. Suffian

DAP hari ini mengulangi jaminan bahawa 42 ahli Parlimennya tidak akan menyokong sebarang usul tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya Parlimen bersidang segera untuk krisis Covid-19. 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, sebaliknya, ia hanya akan membincangkan mengenai langkah pencegahan Covid-19, Program Imunisasi Kebangsaan dan perkara yang berkaitan.

“Sultan Johor telah mencadangkan satu mesyuarat bagi semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor dan Kerajaan Negeri Johor untuk berjumpa dan membincangkan bersama mengenai langkah pencegahan Covid-19, sebagai alternatif kepada penggantungan Parlimen. 

“Pendekatan keseluruhan kerajaan atau keseluruhan rakyat oleh Sultan Johor ini lebih baik daripada kegagalan Kerajaan PN sekarang yang asyik tersandung daripada dari satu kesilapan dasar dan pusingan U posedur operasi standard (SOP) ke yang berikutnya.

“PN harus memanggil Parlimen untuk sidang tergempar, sama seperti yang telah dilakukan oleh Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, jumlah tertinggi sebanyak 6,806 kes harian Covid-19 dan 59 kematian semalam adalah petunjuk yang memalukan terhadap kegagalan Kerajaan PN dalam menguruskan wabak Covid-19. 

Menurutnya, ini sehingga Malaysia bukan sahaja menjadi negara yang terburuk di Asia Pasifik dari segi jangkitan per kapita tetapi merupakan juara ASEAN dalam jangkitan harian. 

“Kadar jangkitan Covid-19 (Rt) atau R-Naught berdasarkan kes harian di seluruh negara meningkat hingga 1.1. 

“Sementara kadar vaksinasi juga jauh di belakang jadual pada 2.6 peratus penduduk untuk dua dos, bahkan lebih rendah daripada kadar vaksinasi Indonesia pada 3.4 peratus untuk dua dos.

Tambahnya, prestasi yang memalukan itu harus menyedarkan pentadbiran PN yang masih lena bahawa mereka perlu menggunakan bukan hanya pendekatan keseluruhan kerajaan tetapi juga pendekatan keseluruhan rakyat untuk menang dalam pertempuran  terdesak melawan Covid-19. 

Beliau menjelaskan, PN juga perlu memberikan penjelasan penuh mengapa krisis Covid-19 menjadi semakin buruk walaupun terdapat dana langsung RM60 bilion untuk memerangi pandemik tersebut. 

Pada tahun 2020 kata beliau, RM38 bilion diperuntukkan untuk dana Covid-19, RM 17 bilion pada tahun 2021 dan RM5 bilion lagi diperuntukkan dari tabung Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).

Jelasnya, dana langsung Covid-19 RM60 bilion sejak tahun lalu itu tidak termasuk RM567 bilion yang diperuntukkan untuk usaha memulihkan ekonomi, tetapi telah gagal mengeluarkan negara dari kemelesetan ekonomi dengan kadar pertumbuhan negatif selama empat suku tahun berturut-turut. 

“Kerajaan perlu menjelaskan bagaimana semua dana ini dibelanjakan ketika rakyat tidak mendapat atau merasakan manfaat daripada RM627 bilion dana kerajaan sejak tahun lalu,” tegasnya. – Roketkini.com