Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

PH Johor sokong titah Sultan, garis 5 perkara perbincangan

Oleh Aziera NH

Pakatan Harapan (PH) Johor menjunjung kasih dan menyokong titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya diadakan satu permesyuaratan antara ahli-ahli Parlimen dan ADUN Johor yang akan diadakan pada minggu depan.

Dalam satu kenyataan, PH Johor berkata, gabungan itu percaya pendekatan dwipartisan dalam menangani wabak pandemik yang semakin meruncing adalah yang terbaik demi nyawa dan keadaan ekonomi rakyat.

Oleh itu, jelas kenyataan tersebut, terdapat lima tuntutan mendesak yang perlu dibincangkan segera oleh mesyuarat bersama ahli Parlimen dan ADUN Johor:

1- Melakukan ujian saringan secara besar-besaran
Kerajaan Johor dicadangkan untuk membuat saringan secara percuma bagi mengatasi penularan wabak yang serius dalam komuniti dengan menggerakkan hospital-hospital di bawah KPJ Healthcare yang dimiliki oleh Johor Corporation Bhd (JCorp) bagi mempergiat pemeriksaan Covid-19.

2- Perancangan vaksinasi Johor
Pendaftaran vaksinasi dan jumlah rakyat Negeri Johor yang telah menerima vaksin juga rendah. Oleh itu, mesyuarat dwipartisan perlu membahaskan perancangan untuk memperluaskan kempen kesedaran vaksinisasi kepada warga Johor dan mencapai angka pendaftaran sekurang-kurangnya 70 peratus daripada keseluruhan mereka yang layak.

3- Pakej bantuan kepada Bangsa Johor
Wajar sekiranya kerajaan negeri, Ahli Parlimen dan ADUN Johor membincangkan pelan ekonomi negeri ini dan menyemak semula Belanjawan 2021 Johor untuk memastikan ekonomi rakyat terus berdaya tahan dan boleh berkembang untuk satu tempoh jangka panjang khasnya ketika pandemik masih belum reda.

4- Perancangan pembukaan semula sempadan Johor – Singapura
Perbincangan mendalam mengenai prosedur terkini yang membolehkan warganegara Malaysia untuk keluar negara wajib diteruskan bagi memastikan Bangsa Johor dan anak Malaysia yang bekerja di seberang tambak dapat meneruskan keberlangsungan hidup.

5- Menamatkan perintah darurat
Dicadangkan agar mesyuarat ahli parlimen dan ADUN Johor membahaskan usul agar kerajaan negeri boleh mengambil langkah mendesak Kerajaan Persekutuan pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera menamatkan darurat agar institusi demokrasi negara, Parlimen dan DUN dapat bersidang semula bagi membincangkan ekonomi rakyat dan negara. – Roketkini.com