Berita, Isu Semasa

Tak mahu berperang mulut, Pulau Pinang putuskan beli vaksin tambahan dengan dana sendiri – Chow Kon Yeow

Kenyataan Media Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow bertarikh 21 Mei 2021 di Komtar, George Town

Susulan daripada dakwaan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap sebuah syarikat yang membuat tawaran sumbangan vaksin COVID-19 kepada negeri Pulau Pinang, orang yang dinamakan sebagai Yong Chee Kong telah dilaporkan dalam media-media tempatan bahawa syarikatnya wujud.  

Saya mendapati bahawa laporan media, Malay Mail Online bertarikh 20 Mei 2021 telah memetik kenyataan Yong Chee Kong seperti berikut:-

“I had reached out to the Sabah government via the chief minister but when they didn’t respond, Penang approached me and said since Sabah has rejected the offer, why not offer it to the Opposition?” he said during a phone interview with Malay Mail.

Yong also explained that the letter bearing his signature was written by the Penang DAP to be presented as a formal offer and that it unfortunately carried his private address and not that of a company.

Ini adalah satu dakwaan yang amat berat dan tidak berasas. Penang DAP tidak pernah menulis surat seperti didakwa, dan satu laporan polis telah dibuat oleh pihak Penang DAP di Balai Polis Jalan Patani pada hari ini, 21 Mei 2021.

Tawaran sumbangan dua (2) juta dos vaksin kepada Pulau Pinang telah menjadi satu kontroversi yang menyimpang daripada tujuan asal pihak Kerajaan Negeri membangkitkan perkara berkenaan pada sidang media sebelum ini. Perkara ini dilihat sebagai suatu perkembangan yang amat malang. Adalah ditegaskan bahawa bukan menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk berperang mulut dengan mana-mana pihak termasuk Kerajaan Persekutuan. 

Sebaliknya, matlamat utama Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah untuk mendapatkan bekalan vaksin tambahan pada kadar segera bagi memastikan kadar vaksinisasi boleh dipercepatkan demi melindungi nyawa serta menyelamatkan ekonomi rakyat negeri ini secara keseluruhan. 

Memandangkan Menteri, YB Khairy Jamaluddin telah mendakwa bahawa sumbangan tersebut adalah ‘scam’ dan laporan polis telahpun dibuat terhadap isu tersebut, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung urusan siasatan kelak.

Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa isu sebenar di sini adalah perolehan bekalan vaksin untuk rakyat Pulau Pinang.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang yang bersidang pada 19 Mei 2021 telah berbincang mengenai kontroversi tersebut, dan memutuskan untuk memberi tumpuan terhadap pendekatan terbaik dalam memperoleh bekalan vaksin pada tempoh masa terdekat sebagai memenuhi permintaan rakyat negeri ini untuk menerima vaksin dengan kadar segera.

Justeru, MMK telah memutuskan menggunakan dana Kerajaan Negeri bagi membeli vaksin tambahan untuk dihantar segera selain yang bakal dibekalkan oleh Kerajaan Persekutuan demi kepentingan serta kegunaan rakyat negeri Pulau Pinang.

Bagi tujuan tersebut, saya telah menghantar surat kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada hari ini untuk mendapatkan kebenaran pembelian vaksin secara terus oleh Kerajaan Negeri daripada syarikat pembekal yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dalam negara ataupun secara langsung daripada syarikat pengeluar vaksin.

Saya berharap Kerajaan Persekutuan akan memberi maklum balas positif terhadap permohonan berkaitan. Kerajaan Negeri dengan ini mengulangi komitmen untuk mengetepikan perbezaan politik bagi menjayakan kempen melawan pandemik COVID-19 termasuk pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Saya mengambil kesempatan ini memohon maaf kerana tercetusnya kontroversi ini, dan berharap kita akan meneruskan segala usaha dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19 seterusnya demi kebaikan seluruh rakyat di negara ini.