Berita

Covid-19: Jalan penyelesaiannya bukan Darurat, gantung Parlimen tapi PICK yang berjaya

Oleh Roketkini

Fakta dan angka membuktikan bahawa darurat dan penggantungan Parlimen bukanlah penyelesaian untuk memenangi untuk memerangi Covid-19.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang berjaya adalah jalan penyelesaiannya.

Menurutnya, perolehan vaksin yang perlahan telah menyebabkan penghantaran yang lewat dan kadar vaksinasi yang rendah.

“Peningkatan jangkitan Covid-19 yang tinggi telah menimbulkan rasa takut dan panik di kalangan rakyat yang mengakibatkan keterdesakan pencarian vaksin untuk melindungi orang yang mereka sayangi.

“Itulah sebabnya rakyat sangat marah dan kecewa dengan pendaftaran atas talian untuk vaksin AstraZeneca yang gagal, walaupun berharga RM70 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi pelaksanaan PICK yang segera dan lancar, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, perlu ada akauntabiliti, ketelusan dan pengawasan fungsi kerajaan.

Beliau memberitahu, hanya Parlimen yang dapat memainkan peranan semak dan imbang ini bagi memastikan kerajaan menjalankan tugasnya dan dana awam digunakan dengan betul.

“Parlimen mesti dibuka semula, dan Darurat perlu ditamatkan segera untuk mempercepatkan proses vaksinasi,” katanya. – Roketkini.com