Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Timbalan Yang di-Pertua dan parti-parti politik perlu adakan sesi “Parlimen Rakyat” tersendiri

Kenyataan Media Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong bertarikh 27 Mei 2021

Saya merujuk kepada kenyataan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Azalina Othman Said, yang menggesa supaya persidangan parlimen diadakan semula.

Kesungguhan Timbalan Yang di-Pertua mempertahankan peranan dan kepentingan parlimen adalah amat menggalakkan, khusus dalam situasi pandemik Covid-19 yang semakin teruk. Sebagaimana yang dinyatakan oleh beliau, negara kita adalah satu-satunya negara yang telah melumpuhkan parlimen pada ketika krisis sedang berlaku.

Jika Timbalan Yang di-Pertua pun tidak berjaya mendapatkan jawapan daripada Peguam Negara dan Menteri Undang-undang, sudah pasti ahli-ahli parlimen yang lain dan rakyat biasa tidak akan dapat memastikan kerajaan kekal akauntable.

Namun, pada masa yang sama, saya juga tertanya-tertanya sama ada Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua yang kedua mempunyai pendapat dan kesugguhan seperti YB Azalina.

Walaubagaimanapun, Timbalan Yang di-Pertua telah mengemukakan beberapa cadangan SOP untuk membolehkan parlimen bersidang semula dengan selamat. Sebagai salah seorang ahli Dewan Rakyat, saya menyokong sepenuhnya cadangan-cadangan beliau. Banyak antara cadangan beliau turut telah dikemukakan oleh ahli parlimen yang lain, parti politik, dan masyarakat awam.

Selain itu, saya juga menggesa supaya Timbalan Yang di-Pertua dan para ahli parlimen tidak lagi menunggu untuk pihak kerajaan bertindak. Tingkah laku dan sikap teragak-agak mereka sepanjang satu tahun yang lepas jelas menunjukkan bahawa mereka telah gagal dan tidak boleh diharapkan lagi.

Maka saya mencadangkan supaya Timbalan Yang di-Pertua menerajui usaha untuk mengadakan suatu sesi “Parlimen Rakyat”. Sesi ini akan dianjurkan secara bersama oleh pejabat Timbalan Yang di-Pertua dan parti-parti politik berkewakilan di parlimen yang berminat. Sesi parlimen tersebut akan diadakan secara atas talian.

Apa yang diperlukan hanyalah persetujuan daripada parti-parti politik dan ahli-ahli parlimen untuk turut serta secara sukarela. Timbalan Yang di-Pertua boleh menetapkan format dan peraturan-peraturan untuk sesi parlimen tersebut.

Sememangnya, sesi Parlimen Rakyat tersebut adalah alternatif yang berbentuk informal dan tiada punca kuasa undang-undang. Namun, ia menyediakan sebuah platform yang penting untuk ahli-ahli parlimen berdebat dan berbincang tentang isu-isu kritikal yang sedang dihadapi oleh negara. Para Menteri sewajarnya menyokong dan turut serta dalam sesi ini. Jika tidak, ia mencerminkan sikap mereka tersendiri.

Cadangan ini adalah serupa dengan inisiatif “Parlimen Digital” yang telah dianjurkan dengan jayakan oleh sekumpulan pertubuhan belia pada bulan Julai tahun lepas. Para belia telah menunjukkan bahawa perkara ini boleh dibuat. Sekarang telah tibanya masa untuk kami meneruskan teladan ini.