Uncategorized

Pengumuman ‘total lockdown’ perlu disusuli 4 jaminan komitmen

Oleh Pakatan Harapan Johor

1. Pakatan Harapan Johor mengambil maklum pengumuman ‘total lockdown’ oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin lewat hari ini (petang semalam).

2. Pakatan Harapan Johor turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah kes Covid-19 yang kian menghampiri 5 angka.

3. Pakatan Harapan Johor mendesak agar pengumuman ini mestilah disusuli dengan jaminan komitmen oleh Kerajaan Persekutuan agar;

i. Meningkatkan kadar saringan Covid-19 supaya angka jangkitan sebenar dapat memandu langkah pencegahan yang lebih berkesan.

ii. Mempergiatkan usaha ‘contact tracing’ bagi memastikan gerak kerja menghentikan rantaian jangkitan penularan wabak Covid-19 dapat benar-benar dikenalpasti seterusnya dihentikan.

iii. Dari langkah saringan dan ‘contact tracing’ secara besar-besaran ini, pengarahan kuarantin yang lebih bersasar boleh diperketatkan.

iv. Menyegera dan mendahulukan usaha vaksinasi dikalangan rakyat berpandukan maklumat dan data khususnya kepada kelompok sasar dan lokaliti berisiko tinggi.

4. Pakatan Harapan Johor melahirkan kebimbangan, sekiranya perkara-perkara diatas tidak diurus dengan cermat dan teliti, ‘total lockdown’ yang dilaksanakan oleh Kerajaan hanyalah akan menemui kegagalan sepertimana yang terjadi sebelum ini.

5. Pada masa yang sama, Pakatan Harapan Johor mendesak agar pakej rangsangan ekonomi seperti bantuan kewangan dan juga moratorium untuk rakyat bagi membantu golongan yang menerima kesan besar berikutan ‘total lockdown’ diumumkan segera.

 6. Seandainya tidak diurus dengan baik dan teliti, Pakatan Harapan Johor bimbang kesan dari perlaksanaan ‘total lockdown’ ini akan menambah derita rakyat, ekonomi menjadi parah, pendidikan anak-anak terus dimangsakan dan kehidupan sosial rakyat tidak kembali pulih seperti sediakala.

YB AMINOLHUDA HASSAN

Ketua Pembangkang Dewan Negeri (DUN) Johor Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Johor Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor

YB SYED IBRAHIM SYED NOH

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Johor

LIEW CHIN TONG

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor

  • Kenyataan dikeluarkan 28 Mei 2021